ARIF Junaidi mencetuskan kebimbangan kem badminton negara apabila jatuh sakit hanya enam hari sebelum bermulanya Kejohanan Dunia di Paris.
Pemain beregu lelaki negara berusia 23 tahun yang bergandingan dengan Yap Roy King itu tidak turun latihan (Isnin) selepas mengalami demam dan keletihan.
Meskipun kembali ke gelanggang hari ini, jurulatih kebangsaan Herry Iman Pierngadi mengakui tahap kecergasan Arif masih jauh daripada terbaik.
“Arif demam dan selsema jadi dia tidak dapat berlatih Isnin lalu, hari ini dia cuba kembali tetapi hanya mampu mengikuti dua program latihan,” kata Herry selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia.

Malaysia mempertaruhkan empat beregu lelaki di Paris dengan sandaran utama diletakkan kepada gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan nombor tujuh dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Selain itu, beregu profesional, pasangan nombor tiga dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan cabaran bersama Arif-Roy King yang berada di ranking ke-22 dunia serta bakal membuat penampilan sulung di pentas Kejohanan Dunia.
“Sudah tentu saya risau dengan masa yang singkat ini, tetapi melihat keadaannya hari ini saya percaya dia boleh bermain, harapan saya Arif segera pulih kerana pemulihan amat penting pada tahap ini,” tambah Herry yang berharap Malaysia meraih kejuaraan kedua selepas Aaron-Wooi Yik melakukannya di Tokyo 2022.