KEPUTUSAN Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat terhadap beberapa pemain negara disifatkan sebagai detik mengejutkan, namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan skuad Harimau Malaya tetap bersatu dan tidak akan goyah menghadapi cabaran getir ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend, segala isu pentadbiran yang dipersoalkan telah pun ditangani dan kini fokus penuh pasukan adalah untuk memastikan persiapan mantap menghadapi aksi kelayakan menentang Laos, katanya dalam kenyataan rasmi Malaysia NT.

Beliau menegaskan, barisan pemain, jurulatih dan pegawai tetap berdiri teguh di belakang proses rayuan yang sedang berlangsung, dengan keyakinan penuh bahawa keputusan yang adil dan telus bakal diperoleh.

“Harimau Malaya kini hanya memandang ke hadapan. Disiplin, profesionalisme dan semangat berjuang pasukan di atas padang tetap akan mencerminkan maruah serta kebanggaan negara,” kata Friend dalam kenyataannya.

FAM melihat krisis ini sebagai titik penting yang mampu membentuk ketahanan mental skuad negara, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kebangsaan dalam kalangan penyokong.

Walaupun berdepan tekanan di pentas antarabangsa, Harimau Malaya berjanji untuk kekal fokus dalam misi utama — layak ke pusingan seterusnya dan mengangkat nama Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Ini adalah saat penentu buat bola sepak Malaysia. Kami kekal bersatu, berani dan bertekad untuk terus mara,” tegas Friend yang mahu seluruh peminat memberikan sokongan padu di sebalik dugaan getir ini.

Dengan semangat juang yang tidak pernah padam, Harimau Malaya kini mahu membuktikan bahawa badai ini hanya akan menjadikan mereka lebih kuat dalam misi mengharumkan nama negara.