JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) bakal mengadakan perlawanan persahabatan kelab antarabangsa bertemu Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 November 2022 sebagai sebahagian dari Jelajah Asia BVB 2022.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh kelab, pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim nyata gembira dan berbangga menerima kunjungan kelab Jerman itu kerana ianya sebagai tanda hubungan akrab kedua-dua kelab ini yang sudah terjalin sejak daripada 2015.
Selain itu, Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Komersil Borussia Dortmund, Benedikt Scholz berkata mereka juga tidak sabar untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim selain bertemu semula peminat dan penyokong BVB di Malaysia.
JOHOR DARUL TA'ZIM FC VS BORUSSIA DORTMUND — INTERNATIONAL CLUB FRIENDLY
Johor Darul Ta'zim FC will host Borussia Dortmund in an international club friendly at Sultan Ibrahim Stadium on November 28.
[1/8] pic.twitter.com/OF9ZZznFXy
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) November 1, 2022
Kegembiraan ini turut dikongsi bersama Pengarah Urusan Borussia Dortmund Asia Pasifik, Dr Suresh Letchmanan yang menghargai kerjasama ini dan berbesar hati dapat melangsungkan perlawanan persahabatan selepas kali terakhir melakukannya pada 2015.
“Kami berbangga untuk mengalu-alukan kehadiran Borussia Dortmund untuk perlawanan persahabatan kelab antarabangsa bertemu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim yang ikonik sebagai sebahagian dari Jelajah Asia BVB 2022.
“JDT dan gergasi Jerman ini sudah mempunyai kerjasama yang baik sejak kolaborasi Akademi dan perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Larkin pada tahun 2015. Ianya adalah satu kebanggaan untuk menerima kunjungan pasukan bereputasi seperti Borussia Dortmund sekali lagi dan kali ini di rumah baharu kami,” jelas DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
“Kami begitu teruja dan gembira dapat kembali semula ke Johor Bahru untuk bertemu rakan lama kami dari Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, di mana kali terakhir kami bertemu adalah pada tahun 2015. Pasukan kami tidak sabar untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih dan untuk bertemu dengan peminat dan penyokong kami di Malaysia sekali lagi,” ujar Scholz
“Kami sangat menghargai jalinan kerjasama dengan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan DYAM Tunku Mahkota Johor dan atas sebab itu kami berbesar hati kerana dapat melangsungkan perlawanan ini sebagai sebahagian daripada JELAJAH ASIA BVB 2022. Kami di BVB teruja untuk mengulangi kembali perlawanan yang pernah berlangsung pada 2015 dan menjangkakan sebuah pengalaman yang tidak boleh dilupakan,” kata Dr Suresh menerusi siaran media rasmi JDT.
Kedua-dua wakil gergasi Jerman itu turut hadir dan disantuni DYAM Tunku Ismail di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri ketika JDT menewaskan PJ City 2-0 dalam aksi Piala Malaysia 2022 pada Isnin.