MALAYSIAN Football League (MFL) menegaskan denda yang dikenakan terhadap Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC susulan keputusan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-15 baru-baru ini tidak akan digunakan untuk menampung tunggakan gaji pemain pasukan terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, denda yang dikenakan tetap perlu dibayar oleh kelab berkenaan dan ia tidak akan menjejaskan tanggungjawab asal mereka terhadap bayaran gaji pemain serta pegawai.
“Wang denda yang dikenakan oleh MFL bukanlah untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain. Itu adalah tanggungjawab kelab sepenuhnya. Denda pula wajib dibayar kepada liga sebagai sebahagian daripada hukuman,” katanya kepada Flash Sukan.
Sri Pahang dikenakan hukuman selepas menarik diri daripada saingan Liga Malaysia, manakala Kedah Darul Aman FC dan Perak FC pula digantung kerana gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025/26.
Shazli turut menjelaskan bahawa MFL dan AFL merupakan dua entiti berbeza, sekali gus bermakna ketiga-tiga kelab tersebut masih boleh beraksi dalam kejohanan anjuran AFL, biarpun dikenakan hukuman oleh MFL.
Sebagai contoh, andai kata sebuah pasukan layak beraksi dalam Piala Malaysia, mereka tetap tidak akan dibenarkan menyertainya sepanjang tempoh penggantungan dua tahun yang telah ditetapkan oleh MFL.
Beliau menegaskan, keputusan yang dibuat adalah untuk menjaga integriti saingan Liga Malaysia serta memastikan semua pasukan mematuhi syarat kewangan dan perlesenan yang ditetapkan.