JAGUH Valorant, Paper Rex membuktikan status juara VCT Pacific dengan bangkit dari ketinggalan untuk menundukkan GIANTX dalam perlawanan penuh dramatik mengesahkan tempat mereka di pusingan playoff VALORANT Champions 2025.
Perlawanan bermula dengan GIANTX memenangi peta pilihan mereka, Ascent (11-13), namun Paper Rex pantas membalas dengan kemenangan di peta kedua, Lotus (13-10) dan peta ketiga menjadi penentuan sengit, di mana Paper Rex mengekalkan momentum, menamatkan siri dengan keputusan (13-6) di Sunset, dengan keputusan keseluruhan 2-1.
Siri ini berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan mempamerkan strategi dan kemahiran bertaraf dunia, GIANTX menguasai beberapa pusingan awal, termasuk kemenangan dalam anti-eco dan pusingan bonus tetapi Paper Rex berjaya membalikkan keadaan pada saat-saat kritikal.
Pemain bintang Something membawa Paper Rex dengan cemerlang, mencatat 63 kill keseluruhan sepanjang tiga peta dan beberapa momen kritikal, yang menjadi kunci kemenangan dramatis 2-1 ke atas GIANTX.
Kemenangan ini menjadikan Paper Rex pasukan pertama layak ke playoff Kumpulan A, mengekalkan momentum mereka selepas kejayaan di VCT Pacific.
Prestasi mereka menegaskan reputasi Paper Rex sebagai pasukan gergasi yang sukar ditandingi di pentas antarabangsa, sambil menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk menghadapi cabaran seterusnya di playoff.
Kredit Gambar : Akaun Rasmi Instagram Paper Rex