Kredit Gambar: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KEPULANGAN Formula Satu (F1) ke Malaysia disambut penuh keterujaan oleh peminat sukan permotoran apabila Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) disahkan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, sekali gus menamatkan penantian hampir sedekad sejak kali terakhir perlumbaan itu dianjurkan di negara ini pada 2017.

Lebih menarik, penganjuran perlumbaan berprestij itu turut dikaitkan dengan kejayaan diplomasi diraja yang memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Bahrain.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kepulangan F1 ke Malaysia disifatkan sebagai hasil kejayaan diplomasi diraja yang mencerminkan hubungan erat serta kepercayaan tinggi antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.

Menurut perkongsian itu, persahabatan peribadi yang terjalin sejak 2017 antara kedua-dua pemerintah terus berkembang sehingga memperkukuh hubungan diplomatik kedua-dua negara, termasuk menerusi Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada tahun lalu.

Hantaran itu turut menjelaskan bahawa susulan cabaran terhadap kalendar Formula 1 akibat konflik bersenjata di Asia Barat, Grand Prix Bahrain berdepan ketidaktentuan dan memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan perlumbaan itu dapat diteruskan.

Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, Raja Hamad dilaporkan mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon dengan Sultan Ibrahim sebelum persefahaman dicapai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Hasil kerjasama itu menyaksikan Sepang dipilih sebagai venue Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, sekali gus mengembalikan perlumbaan Formula 1 ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.

Terdahulu, Formula 1 dan FIA mengesahkan perlumbaan itu akan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang dari 2 hingga 4 Oktober 2026, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi.

Penganjuran berkenaan dijangka bukan sahaja mengembalikan kemeriahan Formula 1 ke Malaysia, malah memberi impak positif kepada sektor pelancongan, hospitaliti dan ekonomi negara, di samping mengukuhkan semula kedudukan Sepang sebagai antara litar ikonik dalam kalendar sukan permotoran dunia.