Kredit Gambar: MSN Malaysia
Penantian tiga penampilan di pentas Sukan Komanwel akhirnya berakhir buat atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat apabila muncul juara kategori 79 kilogram (kg) lelaki pada temasya Glasgow 2026.
Atlet berusia 26 tahun itu menghadiahkan pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia selepas mencatat jumlah angkatan keseluruhan 331kg menerusi 147kg dalam acara snatch dan 184kg dalam clean and jerk di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.
Lebih membanggakan, catatan 184kg dalam clean and jerk serta jumlah keseluruhan 331kg turut memperbaharui rekod temasya.
Sejurus tamat pertandingan, Erry mendedikasikan kejayaan itu kepada bapanya yang menjadi sumber inspirasi sepanjang perjuangannya.
“Alhamdulillah penantian tiga kali Sukan Komanwel, (akhirnya) saya dapat pingat emas. Ini (pingat emas) untuk ayah saya lah. Sebelum ini dia call saya, cakap tolong bawa balik pingat emas lagi sekali untuk ayah, saya buat untuk dia,” katanya.
Kejayaan itu hadir selepas Erry berdepan detik mencemaskan dalam acara snatch apabila dua percubaannya pada bebanan 147kg dibatalkan juri sebelum berjaya menyempurnakan angkatan tersebut pada percubaan ketiga.
Menurutnya, situasi itu memaksanya berjuang habis-habisan dalam acara clean and jerk bagi memastikan impian meraih emas menjadi kenyataan.
“Kejayaan hari ini amat manis dan perjuangannya sangat luar biasa… kalau jika tak dapat angkatan ketiga mungkin saya tak boleh main untuk clean and jerk. Jadi untuk angkatan keseluruhan saya berjuang habis-habisan dalam clean and jerk,” katanya.
Erry berkata beliau kembali mengingati teknik latihan yang dilakukan sebelum ini bagi mengatasi tekanan selepas dua percubaan awal tidak berjaya.
“Saya cuma ingat macam mana saya berlatih sebab snatch saya buat 153kg (rekod terbaik), tapi 147kg kenapa jatuh… dalam clean and jerk pun saya tak sangka dengan angkatan terakhir. Walaupun rekod saya 187kg, saya buat 184kg terasa berat, mungkin saya tak biasa cuaca sejuk,” katanya.
Pingat perak dimenangi wakil India, Valluri Ajaya Babu dengan jumlah angkatan 330kg, manakala atlet England, Chris Murray membawa pulang gangsa selepas merekodkan 325kg.
Kejayaan itu turut mempunyai nilai sentimental apabila Erry mengikut jejak bapanya, Hidayat Hamidon, yang pernah menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Emas yang diraih Erry turut mengukuhkan prestasi cemerlang skuad angkat berat negara selepas Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing muncul juara dalam kategori 60kg dan 65kg lelaki.