PEMAIN tenis terkemuka, Carlos Alcaraz menewaskan Jannik Sinner dalam empat set semalam untuk muncul juara US Open, sekali gus mengukuhkan dominasinya dalam sukan tenis yang dilihat bakal mencorakkan era baharu.
Pemain muda berusia 22 tahun itu menang 6-2, 3-6, 6-1, 6-4 untuk menjulang trofi US Open buat kali kedua dalam kerjayanya dan melengkapkan kemenangan Grand Slam keenamnya, malah menebus kekalahan kepada Sinner di final Wimbledon pada Julai.
Kejayaan ini turut menjadikan Alcaraz raja tenis dunia sekali lagi apabila merampas semula status nombor satu daripada Sinner buat pertama kali sejak September 2023 selepas menewaskan rekod tanpa kalah sebanyak 27 perlawanan di pentas Grand Slam.
Alcaraz dan Sinner telah mendominasi lapan gelaran Grand Slam terakhir, masing-masing meraih empat kejuaraan, sekali gus menunjukkan penguasaan mereka berbanding pemain lain termasuk Novak Djokovic.
Namun, meskipun Sinner mencatat rekod 109-4 menentang pemain lain dalam dua musim lalu, Alcaraz tetap menjadi penghalang utamanya.
Kekalahan Sinner di Flushing Meadows melanjutkan kemarau terpanjang tanpa sebarang pertahanan gelaran berjaya dalam mana-mana Grand Slam lelaki sepanjang era Terbuka.
Tiada pemain lelaki berjaya mengekalkan gelaran US Open sejak Roger Federer memenangi lima kali berturut-turut dari 2004 hingga 2008.
Sumber : Ritchie Falco