PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan tiga jurulatih baharu sebagai langkah memperkukuh struktur kejurulatihan kebangsaan demi melonjakkan prestasi pemain di semua peringkat.
Pelantikan itu menyaksikan Harry Hartono dinamakan sebagai jurulatih perseorangan lelaki, Yeoh Kay Bin sebagai jurulatih perseorangan remaja lelaki dan Mohd Zakry Abdul Latif menggalas peranan jurulatih beregu wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei mengumumkan tiga jurulatih yang sah akan bersama badan induk badminton negara, bermula Februari depan.
Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif strategik BAM yang menekankan pembangunan holistik merangkumi aspek teknikal, taktikal, fizikal dan mental pemain.
Harry dan Kay Bin akan bergandingan membimbing skuad perseorangan lelaki negara bersama ketua jurulatih, Datuk Tey Seu Bock serta barisan kejurulatihan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei percaya pengalaman dan kepakaran tiga jurulatih itu mampu memberi nilai tambah besar kepada program latihan kebangsaan.
“Kami berbincang perkara ini bersama Pengarah Perseorangan, Kenneth Jonassen yang mengemukakan senarai calon jurulatih dengan fokus kepada kesinambungan pembangunan pemain muda,” kata Chong Wei dalam kenyataan yang dikongsikan BAM.

Beliau menambah, Zakry pula dicadangkan secara peribadi oleh Pengarah Beregu, Rexy Mainaky untuk memperkukuh skuad beregu wanita yang diterajui Rosman Razak.
Ketiga-tiga jurulatih berkenaan akan memulakan tugas secara rasmi pada Februari ini dengan Kay Bin melapor diri 3 Februari, diikuti Harry pada 10 Februari dan Zakry pada 20 Februari.