SELEPAS sebelum ini dilaporkan mempertimbangkan untuk bersara, penyerang warisan Malaysia, Rodrigo Holgado, kini dikhabarkan merancang ‘pusingan U’ dalam kariernya apabila peluang untuk kembali beraksi secara profesional kembali terbuka.

Portal Chile, En Cancha, melaporkan terdapat kemungkinan besar Holgado akan kembali aktif bermain susulan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membawa kes penggantungan tujuh pemain warisan negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi menyelesaikan isu hukuman FIFA yang sedang dihadapi.

Sekiranya proses tersebut berjalan lancar dan keputusan memihak kepada pemain, isu penggantungan selama setahun itu dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat, sekali gus membuka laluan buat Holgado menyertai kelab Chile, Coquimbo Unido, selepas menamatkan kontraknya bersama America de Cali.

Perkembangan itu turut disahkan wartawan sukan Chile, Renzo Luvecce, menerusi Instagram seperti dilaporkan portal Red Gol, dengan Holgado sendiri memberi bayangan positif apabila meninggalkan komen ringkas, “Kenapa tidak?”, yang mencetuskan spekulasi mengenai kebangkitannya.

Holgado kini menjalani penggantungan FIFA bersama enam lagi pemain warisan negara,  Facundo Garces, Gabriel Palmero, Hector Hevel, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal susulan isu pemalsuan dokumen, namun keputusan muktamad kes mereka di CAS dijangka diketahui sebelum pertemuan penting antara Malaysia dan Vietnam pada Mac ini.