PDRM FC sekali lagi berjaya mengikat pasukan atasan liga apabila mencatat keputusan seri 0-0 ketika menentang Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.
Meskipun gembira kerana mencatat satu mata namun penolong ketua jurulatih, Eddy Gapil masih tidak berpuas hati dengan ‘last touch’ penyerangnya yang masih gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir mereka.
“Syukur kepada Tuhan atas keputusan malam ini. Kredit kepada semua pemain atas kerja keras mereka, jadi apa yang kita rancang dan berlatih dari minggu lepas ada nampak peningkatan.
“Tetapi saya masih belum berpuas hati dengan ‘last touch’. Kita akui yang pasukan kita agak lemah dari segi penyudah dan jika kita lihat statistik, 16 gol dan 21 bolos jadi memang ketara kita kekurangan di bahagian serangan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Eddy yang mengendalikan perlawanan ketiganya sejak menggantikan Azzmi Aziz mengakui dia masih meneruskan corak permainan dan taktikal yang telah diterapkan sejak permulaan musim.
“Saya hanya meneruskan apa yang kita dah buat dari awal musim dan apa yang kita cuba buat adalah untuk menambah baik ‘ball possession’ dan apa yang kita nampak ada peningkatan dari sudut itu.” jelasnya.
Khabar angin yang bertiup kencang menyatakan penyerang Perak FC, Hadi Fayyadh bakal dibawa masuk ke skuad Sang Saka Biru secara pinjaman, Eddy mengakui terkejut namun dia menyambut baik berita itu kerana ia boleh membantu pasukan beraksi lebih baik terutama di bahagian serangan.
“Saya pun terkejut dengan berita ini tetapi jika ianya benar sangat bagus untuk membantu pasukan kami terutama di bahagian serangan,” tambahnya.
Eddy turut mendedahkan bahawa bekas pemain import Kelantan FC, Mario Arques sudah mula berlatih bersama pasukan dan hanya menunggu beberapa dokumen perpindahan dan harap dapat diturunkan pada aksi selepas ini bertemu Kelantan United FC di Kota Bharu.