MAJLIS Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. menganjurkan program Women in Cyber Luncheon bersempena dengan Persidangan Cyber Defence and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2023.

Program tersebut bagi meraikan wanita-wanita yang menceburi bidang keselamatan siber dan secara tidak langsung mengangkat kredibiliti wanita untuk memberi galakan dan menyokong penglibatan golongan ini dalam bidang keselamatan siber, khususnya daripada sudut kepimpinan.

Selain itu, program bual santai yang yang dihadiri lebih kurang 100 orang peserta bertujuan untuk meraikan sumbangan luar biasa wanita dalam bidang keselamatan siber seterusnya dijadikan sumber inspirasi kepada generasi pemimpin akan datang.

Dalam masa yang sama, sebuah buku bertajuk ‘She Inspires Leaders’ telah diketengahkan sebagai konteks perbincangan di mana buku ini merupakan ilham daripada 18 pengarang dari seluruh dunia yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin wanita dalam bidang masing-masing.

Program ini dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Pemangku Ketua Eksekutif NACSA; Shariffah Rashidah Syed Othman dan diteruskan dengan perkongsian daripada Dr. Raja Yasmin Raja Abdul pengarang bersama; Zeynep Bakan, Kathryn Jones, Saalihah Seedat, Hannah El-Gashingi yang bersiaran dari Australia serta Dr. Norzila; Pakar Psikiatri dan Pensyarah dari USM Kubang Kerian, Kelantan.

Perkongsian daripada kesemua wanita hebat ini telah memberi inspirasi berharga kepada peserta yang hadir.

Turut hadir sebagai penampilan istimewa dalam program ini adalah moderator daripada Microsoft APAC iaitu Adilah Junid dan Dr. Jasmine Begum.

Dalam program ini, kesemua ahli panel telah berkongsi pengalaman dan cabaran serta strategi yang digunakan untuk memacu perubahan positif dalam memperkasakan wanita. Program diakhiri dengan sesi soal jawab daripada para peserta dan sesi cabutan bertuah.