KEMERIAHAN Tahun Baharu Cina (TBC) menjadi pembakar semangat buat pemain beregu campuran negara Toh Ee Wei ketika dia memasang impian mencipta langkah lebih jauh di Seluruh England.
Ee Wei berharap aura perayaan membawa tuah buat dirinya dan pasangan Chen Tang Jie menjelang aksi di Birmingham dari 3 hingga 8 Mac ini.
“Saya harap boleh buat persiapan secara maksimum dan tidak ada kecederaan untuk pergi lawan nanti di Seluruh England,” katanya mengenai fokus utama ketika ini.

Gandingan ranking keempat dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mahu atasi badi tersingkir di pusingan pertama, pada Seluruh England 2026.
Sebagai pasangan ranking keempat dunia, mereka bertekad menamatkan badi penyingkiran awal selepas pencapaian terbaik sekadar pusingan kedua pada edisi lalu.
Di sebalik kesibukan latihan, Ee Wei mengakui sambutan perayaan tetap detik paling dinanti kerana peluang meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Toh Ee Wei berkongsi gambar meluangkan masa bersama neneknya di aplikasi sosial Instagram peribadi, semalam.
“Tahun Baru Cina sama saja, kadang-kadang ada kejohanan, kadang-kadang boleh balik dua hari jumpa keluarga, lepas itu sambung latihan,” katanya.
Tahun ini dia pulang ke Melaka untuk meraikan secara sederhana sebelum kembali ke Kuala Lumpur bagi menyambung persiapan.
“Mesti buat gim atau apa-apa latihan dulu sebelum pergi makan, sudah biasa,” katanya, menegaskan disiplin atlet kekal menjadi keutamaan walaupun dalam suasana perayaan.