DITEKAN, ditujah dengan pelbagai pandangan serta disandar harapan menggunung, semua itu asam garam seorang pemain badminton yang diakui Lee Zii Jia sendiri sebelum kembali memijak gelanggang di Porte de La Chapelle, Paris.

Dia sendiri mengakui perkara itu perlu dihadapinya sepanjang kerier sebagai pemain badminton, selagi berada dalam industri.

Ketika pemain yang sedang aktif seperti Li Shi Feng dari China, yang menghuni ranking keempat dunia boleh tersingkir seawal pusingan pertama, harapan besar tidak seharusnya digalas Zii Jia pada Kejohanan Dunia kali ini, setelah tidak menyertai kejohanan kompetitif selama kira-kira enam bulan, gara-gara bergelut dengan pemulihan buku lali yang dianggapnya terlalu perlahan.

Lee Zii Jia tetap bangga dapat menamatkan permainan tanpa kesakitan dan kecederaan baharu.

Faktor kecederaan yang belum pulih sepenuhnya, kecergasan yang belum mencapai tahap optimum, ‘feeling’ gelanggang pertandingan serta tidak mendapat pendedahan terhadap perlawanan berintensiti tinggi, seharusnya menjadi kayu ukur kepada ‘standard’ prestasi Zii Jia ketika ini.

Tersingkir dari Kejohanan Dunia sememangnya mengecewakan, namun masih banyak kejohanan yang boleh dikejar Zii Jia untuk bangkit memburu kemasyhuran.

Ditambah dengan peraturan tegas Persekutuan Badminton Dunia (BWF), tidak mungkin Zii Jia memanjangkan lagi tempoh rehatnya dari kejohanan sekali gus, dia tetap terpaksa mengambil bahagian meskipun belum cergas sepenuhnya.

Zii Jia bukan satu-satunya wakil negara dalam perseorangan lelaki dan harapan seharusnya beralih kepada Leong Jun Hao untuk mencipta impak di bumi Paris.