KETUA Jurulatih Skuad B-23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan kini menumpukan persiapan skuadnya bagi menghadapi Temasya Sukan Sea Kemboja yang bakal berlangsung pada Mei 2023.
Berdasarkan persiapan dan barisan pemain yang ada, Elavarasan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke final dengan pasukan sudah selesai menjalani dua fasa latihan.
Selepas tamat dua fasa latihan, Ela telah memanggil 25 orang pemain pada kem latihan pertama dan hanya tiga pemain dari fasa satu dikekalkan untuk kem latihan kedua yang menyaksikan 22 pemain baharu dipanggil pada kem kedua dengan semua latihan adalah berdasarkan latihan pasukan utama yang menerapkan intensiti tinggi dan pemain difahamkan dengan taktikal dalam rejim latihan ini.
“Sasaran untuk Sukan Sea adalah layak ke final dan semestinya kita mahukan pemain yang terbaik dengan Arif Aiman, Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim adalah antara tambahan terbaik buat skuad ini jika diberikan pelepasan oleh pasukan.
“Kita akan panggil pemain utama untuk bermain dengan skuad B-23 namun ianya bergantung kepada FA sama ada mereka mahu lepaskan pemai dan bergantung pada siapa yang kita hendak panggil.
“Jika kita tidak dapat pemain terbaik, pastinya akan menjejaskan sedikit keseluruhan pasukan tetapi saya percaya perkara ini boleh diatasi,” kata Elavarasan pada sidang bertemu media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.
Elavarasan bakal mempunyai kumpulan pemain yang lebih banyak dengan pengenalan Piala MFL yang mengkhususkan liga bawah 23 tahun sebagai salah satu pembangunan pasukan bagi melahirkan pemain untuk mewakili skuad kebangsaan.