SEBALIK senyuman manis Rafiq Ismail selepas merangkul emas berpasukan di Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025, tersimpan sebuah kisah penuh emosi yang menjadi inspirasi di balik kejayaan luar biasanya.

Kemenangan kuartet lelaki Malaysia yang turut disertai Rafiq, Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, dan Tun Hakim, mencatat sejarah sebagai pasukan pertama negara yang berjaya meraih emas dalam acara berpasukan sejak kategori itu diperkenalkan pada 2022.

Bagi Rafiq, kejayaan ini bukan sekadar pingat emas untuk Malaysia, tetapi hadiah paling bermakna buat ayahnya yang sedang sakit.

Ketika ditemui di KLIA 1 semasa menyambut kepulangan skuad boling negara, Rafiq tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan kelegaan atas pencapaiannya, meskipun emosinya diuji sepanjang kejohanan.

“Saya rasa gembira dapat membawa pulang pingat emas. Walaupun dalam acara perseorangan saya hanya meraih perak, kekecewaan itu terubat selepas memenangi emas berpasukan,” katanya.

Namun, di sebalik kegembiraan itu, Rafiq berkongsi detik-detik mencabar apabila menerima berita mengejutkan mengenai kesihatan ayahnya.

“Pada hari kedua pusingan kelayakan, ibu saya telefon dan beritahu bahawa jantung ayah mungkin berhenti bila-bila masa.

“Ketika itu, saya hanya mampu berdoa. Itulah sahaja yang saya dapat lakukan,” katanya, sambil menambah bahawa situasi itu sedikit sebanyak mengganggu emosinya.

Walau bagaimanapun, Rafiq menjadikan cabaran tersebut sebagai motivasi untuk terus fokus dan memberikan persembahan terbaik demi ayahnya.

“Selepas mendapat emas, kami buat panggilan video dengan ayah. Walaupun dia lemah, dia masih mahu bercakap dengan saya.

“Dapat lihat wajahnya walaupun sekejap melalui video sudah cukup buat saya,” ujar Rafiq dengan nada sebak.

Bagi Rafiq, kejayaan ini adalah bukti bahawa semangat dan kasih sayang keluarga mampu menjadi kekuatan untuk mengatasi segala rintangan.

“Ia memang mengganggu emosi saya, tetapi saya jadikan ia sebagai motivasi untuk menang buat ayah,” katanya mengakhiri perbualan.

Skuad boling lelaki negara kini menjadi simbol inspirasi dengan kejayaan mereka di pentas dunia, manakala kisah peribadi Rafiq menyuntik mesej bahawa kemenangan bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi juga untuk insan-insan tersayang yang menjadi tulang belakang kejayaan atlet negara.