KEPUTUSAN Pep Guardiola untuk memperbaharui kontraknya sebagai pengurus Manchester City dikatakan menjadi punca utama keretakan rumah tangganya bersama isteri, Cristina Serra, selepas lebih 30 tahun bersama.

Memetik laporan media antarabangsa, pengurus berusia 53 tahun itu baru sahaja melanjutkan kontraknya selama dua tahun pada November lalu, walaupun kontrak asalnya bakal tamat pada akhir musim ini.

Guardiola menjelaskan bahawa dia tidak boleh meninggalkan kelab itu selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut buat kali pertama sepanjang kerjaya kejurulatihannya.

Bagaimanapun, keputusan tersebut dipercayai telah melanggar perjanjian bagi Cristina yang dilaporkan telah menetapkan keputusan untuk keluar dari Manchester sebelum ini.

Keputusan Pep Guardiola untuk kekal bersama Manchester City adalah penyebab Cristina Serra membuat keputusan muktamad untuk menamatkan hubungan mereka. FOTO | Sky News

Dalam pada itu, Cristina yang kembali ke Barcelona pada tahun 2019 untuk menguruskan perniagaan keluarga mereka, enggan kembali ke Manchester selepas musim cuti tahun lepas.

Menurut laporan yang disampaikan oleh Lorena Vazquez dan Laura Fa menerusi podcast terkenal Sepanyol, Mamarazzis, keputusan Guardiola untuk kekal bersama Manchester City sehingga 2027 menyebabkan Cristina membuat keputusan muktamad untuk menamatkan hubungan mereka.

“Isteri Guardiola dikatakan menyalahkannya kerana terlalu menumpukan perhatian kepada projek profesionalnya dan merasakan keperluan untuk meninggalkan Manchester.

“Semasa cuti Krismas, mereka dilihat menikmati masa bersama di Barcelona, tetapi pengesahan bahawa Pep akan terus kekal di City menghancurkan segalanya dan Cristina membuat keputusan untuk tidak lagi bertolak ansur,” kata Vazquez.

Pep Guardiola kekal bersama Manchester City sehingga 2027. FOTO | BBC

Walaupun melalui tekanan peribadi, Guardiola ada menegaskan komitmennya kepada Manchester City.

“Manchester City sangat bermakna untuk saya, ini adalah musim kesembilan saya di sini dan kami telah melalui banyak detik yang luar biasa bersama.

“Itulah sebabnya saya sangat gembira untuk terus kekal selama dua musim lagi,” katanya.

Dengan kontrak baharunya, Guardiola bakal menyempurnakan 11 tahun perkhidmatannya di kelab itu, menjadikannya pengurus terlama dalam Liga Perdana Inggeris.

Keputusan ini mungkin memberi kestabilan kepada kelab, tetapi dalam kehidupan peribadi, ia ternyata menjadi keputusan yang mahal.