BAYANGAN emas Sukan Komanwel 2026 mula terserlah selepas badang negara, Mohamad Syahmi Nor Ghazali menghadiahkan pingat emas di Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2025 di Ahmedabad, India, malam tadi (Jumaat).
Lebih manis, kejayaan itu hadir menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos sekali gus menyaksikan lagu Negaraku kembali bergema di pentas antarabangsa selepas Syahmi menjuarai kategori 94 kilogram (kg).

Mohamad Syahmi Nor Ghazali berjaya mengangkat beban 150kg dalam acara snatch.
Atlet berusia 21 tahun itu membuktikan berada di kelas tersendiri, apabila melakukan angkatan 150kg menerusi snatch dan 193kg dalam clean & jerk dengan jumlah keseluruhan 343kg.
Syahmi turut mengejutkan penyokong tuan rumah selepas menewaskan dua wakil India, Dilbag Singh yang sekadar meraih perak dengan 342kg serta Parv Chaudhary yang memenangi gangsa dengan 337kg.

Pengurus pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim mengesahkan Syahmi bukan sahaja membawa pulang emas, malah melakar sejarah dengan mencipta rekod baharu Komanwel.
“Syahmi beraksi cukup baik dan mencabar dirinya untuk melakukan yang terbaik dengan mengatasi rekod peribadi, kini dia memegang rekod kebangsaan baharu serta rekod Komanwel,” katanya.

Cubaan Mohamad Syahmi Nor Ghazali mengangkat 200kg dalam clean & jerk tidak menjadi, sekali gus angkatan 193kg sudah cukup membolehkannya meraih pingat emas.
Kejayaan itu turut menyaksikan Malaysia kini mengumpul dua emas setakat ini selepas Mohamad Aznil Bidin terlebih dahulu menghadiahkan emas pertama dalam kategori 65kg dengan jumlah keseluruhan 297kg.
Angkatan berat menjadi sandaran pingat negara di Temasya Glasgow tahun hadapan selepas banyak acara utama Malaysia termasuk badminton, tidak dipertandingkan.