PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria mengucapkan tahniah kepada Aruwin Salehuddin atas pencapaian luar biasanya dalam acara Slalom Ski Alpine Wanita di Sukan Musim Sejuk Asia ke-9 Harbin 2025.
Acara tersebut berlangsung di Stadium Slalom Ski Alpine, Kluster Yabuli, Wilayah Heilongjiang, China pada Sabtu.
Seramai 45 atlet daripada 16 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, termasuk Aruwin Salehuddin yang berusia 21 tahun, atlet wanita pertama Malaysia dalam sukan musim sejuk yang sebelum ini pernah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk XXIV Beijing 2022.
Aruwin yang turut bersaing dengan tiga atlet lain dari Asia Tenggara iaitu Tallulah Proulx (Filipina), Karyssa Vasavanont (Thailand) dan Phichayaporn Thipkesorn (Thailand), berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan masa 1:36.74.
Dia hanya ketinggalan 1.82 saat di belakang pemenang pingat gangsa, satu pencapaian yang sangat membanggakan buat Malaysia.
“Bagi pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM), saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Aruwin atas kejayaan luar biasanya dalam penampilan sulungnya di Sukan Musim Sejuk Asia.
“Bukan sahaja beliau merupakan atlet wanita Malaysia pertama yang layak ke acara Ski Alpine di Sukan Olimpik Musim Sejuk, tetapi kini beliau juga menjadi atlet pertama negara bertanding dalam acara yang sama di Sukan Musim Sejuk Asia.
“Kami amat berbangga dengan pencapaiannya menduduki tempat keempat, kurang daripada dua saat daripada pemenang pingat gangsa. Ini menunjukkan potensi besar yang dimiliki oleh Aruwin.
“Aruwin mempunyai masa depan yang cerah kerana beliau baru berusia 21 tahun. MOM akan menulis kepada Menteri Belia dan Sukan untuk mempertimbangkan sokongan kewangan tambahan bagi membantunya layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk yang seterusnya serta Sukan Musim Sejuk Asia akan datang,” kata Norza dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Norza turut menyampaikan pingat kepada para pemenang acara Slalom Ski Alpine Wanita di Plaza Pingat Yabuli.
FOTO KREDIT : Wan Hor Fong