THAILAND sedang giat mempersiapkan diri untuk menganjurkan Sukan Para Asean 2025 di Nakhon Ratchasima, dengan sasaran menjadikan edisi ke-13 ini sebagai yang terbesar dalam sejarah penganjuran acara sukan dwitahunan tersebut.

Sebanyak 19 sukan telah dicadangkan, jumlah tertinggi dalam tempoh 24 tahun sejarah Sukan Para Asean.

Bagi memastikan kelancaran persiapan, Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) mencadangkan pembentukan jawatankuasa khas untuk memantau aspek organisasi dan operasi acara.

Cadangan ini dikemukakan semasa mesyuarat awal di Bangkok yang dipengerusikan oleh Setiausaha kepada Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Krisada Tantheuttit bersama delegasi APSF yang diketuai Presiden Mejar Jeneral Osoth Bhavilai.

Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai aspek penting seperti operasi teknikal sukan, pengurusan kemudahan, langkah-langkah anti-doping, pemasaran, serta strategi media dan penyiaran. Isu cabaran logistik turut diberi perhatian memandangkan Sukan Para Asean 2025 dijadualkan hanya sebulan selepas Sukan SEA 2025 diadakan pada Disember 2025.

“Kami ingin memastikan segala persiapan berjalan lancar, terutama dengan pembentukan pasukan khusus yang dapat menangani cabaran secara fokus dan berkesan,” kata Bhavilai.

Beliau turut menegaskan komitmen APSF untuk bekerjasama rapat dengan penganjur dalam aspek teknikal, operasi, dan sumber manusia demi kejayaan temasya tersebut.

Daripada 19 sukan yang dicadangkan, 18 daripadanya dijangka berlangsung di Nakhon Ratchasima, dengan sukan tenpin boling diadakan di Bangkok berikutan keperluan kemudahan khusus. Keputusan muktamad mengenai senarai sukan ini akan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) dan Lembaga Gabenor (BOG) APSF akan datang.

Krisada menekankan bahawa penganjuran Sukan Para Asean 2025 bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan keupayaan Thailand sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa, tetapi juga sebagai peluang untuk memberi impak yang bermakna kepada atlet, pegawai, dan penonton dari seluruh Asean.

Untuk rekod, ia merupakan kali kedua Thailand menjadi tuan rumah Sukan Para Asean selepas kali pertama pada tahun 2007, yang juga berlangsung di Nakhon Ratchasima. Ketika itu, Thailand muncul juara keseluruhan dengan 257 pingat emas.

Dengan persiapan rapi dan semangat tinggi, Thailand kini optimis membawa Sukan Para Asean 2025 ke tahap lebih gemilang, sekali gus meninggalkan kenangan manis untuk semua peserta dan penonton.