PEMAIN sayap Selangor FC, Faisal Halim tidak mahu memikirkan tentang kepenatan sebaliknya hanya menjalankan tugas dengan baik dan gembira dapat membantu Selangor FC mencatat kemenangan ke atas Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super pada Jumaat.
Ini selepas dia yang baru sahaja selesai menjalani tugasan bersama skuad kebangsaan di Johor Bahru terus diturunkan dalam kesebelasan utama dalam Derbi Lembah Klang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Faisal atau mesra disapa Mickey juga gembira kerana akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan selepas menyempurnakan penalti kedua dan menganggap ini adalah permulaan buat dirinya serta pasukan Selangor.
“Kalau hendak berkata tentang penat, semua orang penat tetapi ini kerja saya dan ini rezeki saya untuk menyara keluarga. Saya tidak boleh bagi alasan penat dan gembira semua pemain dapat buat yang terbaik untuk kemenangan ini.
“Syukur hasil kerja keras dari rakan sepasukan, saya dapat jaringkan gol pertama untuk Selangor. Saya gembira namun masih banyak perlu saya perbaiki dan terus berkerja keras untuk bantu pasukan.
“Ini bukan pengakhiran tetapi permulaan yang baik untuk pasukan dan diri saya kerana apa yang saya lakukan adalah untuk pasukan dan bukan diri saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Mickey meraikan jaringannya bersama Ayron
Menjawab pertanyaan mengenai adakah jaringan sulungnya itu meleraikan beban yang ditanggung sebelum ini, Faisal berkata tekanan tetap ada kerana jangkaan penyokong pasti akan meningkat namun dia menganggap ini adalah situasi normal bagi pemain bola sepak.
“Tekanan tetap ada sebagai pemain sebab penyokong nak tengok saya jaringkan lebih banyak gol selepas ini tetapi apa yang penting, asalkan Selangor menang saya gembira,” tambahnya yang kelihatan semakin serasi dengan taktikal yang diberikan jurulatih.
Faisal yang juga kembali berjaya menjaringkan gol untuk skuad kebangsaan ketika menentang Hong Kong kini bakal mempersiapkan diri dan pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan di laman sendiri pada Selasa.