SPEKULASI mengenai masa depan Perak FC terus hangat diperkatakan apabila timbul desas-desus mendakwa pasukan itu bakal menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong setia mereka.

Sumber dalaman mengaitkan kemelut kewangan yang berpanjangan — termasuk isu tunggakan gaji pemain dan pegawai — sebagai faktor utama yang mendorong kepada kemungkinan pengunduran tersebut.

Walaupun pihak kelab masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi, tanda-tanda menuju penamatan sebuah era bola sepak di Perak semakin jelas kelihatan.

Difahamkan, rundingan antara pengurusan dan pemain yang diadakan baru-baru ini tidak membuahkan hasil yang diharapkan, menyumbang kepada keadaan yang semakin tidak menentu.

Ketidakpastian ini menjadi lebih kritikal apabila tarikh akhir untuk melengkapkan keperluan Lesen Kebangsaan ditetapkan pada 30 April, memberi tekanan besar kepada pihak pengurusan kelab.

Yusri Che Lah Jurulatih perak FC

Perak FC yang pernah menjadi antara pasukan paling disegani di tanah air kini berdepan risiko kehilangan tempat dalam kancah bola sepak elit negara, sekaligus menyaksikan salah satu kelab bersejarah negara mungkin terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat sementara — atau selamanya.

Adakah masih ada ruang untuk perubahan saat akhir? Atau benarlah era kegemilangan Seladang bakal menjadi kenangan silam?