TIDAK meletakkan harapan tinggi untuk diturunkan dalam saingan Piala Sudirman edisi ke-19, juara baharu Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menyerahkan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan untuk menentukan siapa yang layak diturunkan dalam acara beregu lelaki.

Membawa tiga pasangan beregu lelaki bagi menghadapi kempen di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei, tidak dinafikan Malaysia memiliki antara gandingan terkuat – Aaron dan Wooi Yik yang kini menduduki ranking ke-4 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (no.2) serta gandingan ranking ke-7 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

“Kami kena lihat siapa lawan dulu, baru tentukan siapa yang lebih sesuai untuk diturunkan menentang mereka,” katanya, kepada akhbar China Press.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Malaysia tampil antara pasukan terawal tiba dan memulakan latihan di gelanggang kejohanan pagi tadi bersama Korea Selatan, dan kedua-duapasukan memperoleh tempoh hanya dua jam latihan.

“Memang rasa (feeling) macam tak cukup, tapi mungkin sebab hari pertama. Lepas ni kita ada dua tiga hari lagi untuk betul-betul sesuaikan diri sebelum aksi pertama,” katanya.

Aaron berkata, fokus utama latihan hari ini, tidak melibatkan strategi atau cara menghadapi tekanan lawan, sebaliknya mencari semula rentak dan keseimbangan di gelanggang besar itu.

“Gelanggang ni memang luas, suasana pun lain. Pergerakan bola agak perlahan, mungkin faktor angin dalam dewan besar ni. Kami perlukan masa lagi untuk benar-benar selesa,” ujarnya, yang bakal bergandingan bersama Soh Wooi Yik dalam misi memburu kejayaan.

Esok, skuad negara akan menyambung sesi latihan sebelum mengambil cuti sehari pada Ahad sebelum membuka saingan menentang Perancis pada Isnin, dituruti Australia dan Jepun pada hari-hari berikutnya.