RATA-rata penggemar sukan bola sepak teruja dengan kehadiran Kejohanan Euro 2024, yang sudah membuka tirainya pada pagi Sabtu, iaitu perlawanan antara pasukan Jerman dan Scotland.

Namun demikian, segenap rakyat Malaysia masih menantikan berita gembira daripada pihak kerajaan ataupun RTM untuk menyiarkan Kempen Euro 2024 ini secara percuma buat semua rakyat Malaysia.

FLASH SUKAN juga telah menemubual beberapa individu luar termasuklah daripada kalangan pemain bola sepak kelab tempatan, mengenai harapan mereka untuk menonton perlawanan Euro 2024 secara percuma.

Khatul Anuar, penjaga gol Kelantan Darul Naim FC.

“Khatul sangat setuju kalau RTM dapat hak penyiaran rasmi Euro untuk tahun ini. Dekat Euro kita dapat lihat pemain-pemain yang hebat bermain. Khatul memang peminat setia Euro.

“Jadi saya sangat hargai jasa baik RTM kalau dapat hak penyiaran dan tayangan secara percuma ini. Bukan senang melihat Euro, hanya diadakan empat tahun sekali sahaja.”- Khatul Anuar, Penjaga gol Kelantan Darul Naim FC.

“Saya menyokong supaya RTM siarkan perlawanan Euro secara percuma, kerana ramai peminat-peminat bola sepak yang ingin menonton Euro empat tahun sekali ini. Semoga pihak kerajaan baik hati murah rezeki untuk bagi siaran percuma Euro tahun ini.”- Amir Amri, Pemain Kuching City FC.

“Sedikit kecewa juga kerana ramai ingin lihat kejohanan Euro ini berlangsung sebab lebih kurang macam piala dunia juga. Tak semua yang guna pakej Astro berbayar tambahan slot sukan.

“Mungkin RTM boleh pilih slot perlawanan pusingan kalah mati untuk buat liputan live.” – Presiden Anak Selangor Fan Club, Mohd Faizal Wahid

“Bagi kita, sepatutnya perlu ada siaran langsung untuk Euro 2024 ini kerana bola sepak adalah sukan nombor satu dunia. Rugi rasanya jika tiada siaran langsung, memandangkan kejohanan ini adalah untuk kelas dunia.” – Bekas Kapten Kelantan, Badhri Radzi

“Saya sangat setuju kalau RTM membeli hak penyiaran rasmi Euro 2024 pada tahun ini. Saya merupakan peminat setia Perancis, jadi Euro kali ini memang saya nak tengok pasukan kegemaran saya beraksi.

Muhamad Qadry, Penyokong pasukan Perancis. 

“Saya amat menghargai jasa baik RTM sekiranya pihak RTM dapat membeli hak penyiaran Euro 2024 kerana seperti sedia maklum tidak semua rakyat Malaysia merupakan pelanggan Astro. Justeru itu, perlawanan melibatkan negara Eropah ini hanya berlangsung 4 tahun sekali.

“Harapan saya, pihak RTM dapat membeli hak penyiaran Euro kali ini kerana rakyat Malaysia mudah untuk mengakses ke laman sesawang RTM untuk menonton Euro 2024.”-Muhamad Qadry Ahmad Zabani, Penyokong Perancis

“Saya merasakan bahawa siaran langsung secara percuma perlu disediakan kepada peminat sekurang-kurangnya bermula saingan suku akhir.

“Tapak penyokong bola sepak Eropah amat besar di Malaysia dan saya rasa akan memberi impak kepada jumlah tontonan sekiranya siaran percuma disediakan oleh kerajaan.”- Nik Faris Zukeiman, Penyokong Jerman

Jerman menang aksi pertama EURO 2024 mengalahkan Scotland.

“Di Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar, bola sepak merupakan sukan yang paling di minati dan dimainkan setiap petang oleh komuniti setempat terutamanya penduduk di rumah panjang.

“Kejohanan bolasepak bertaraf dunia terutamanya Euro 2024 adalah acara yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka. Memandangkan ada kawasan luar bandar terutama yang di pendalaman masih belum mendapat liputan TV Satelit , talian komunikasi selular (handphone) dan ketidakupayaaan mereka melanggan siaran berbayar seperti Astro, Unifi dan lain maka mereka bergantung harap kepada saluran media massa yang percuma terutamanya saluran RTM. Ketiadaan Live di RTM sudah pasti memberikan kekecewaan besar untuk mereka untuk merasai kemeriahan kejohanan bolasepak bertaraf dunia.

“Bagi kita yang tinggal di bandar..ketiadaan siaran percuma Live Euro 2024 di RTM mungkin ianya kesan yang kecil tetapi bagi mereka ianya amat besar kerana di situlah mereka menikmati kemeriahan bola sepak , belajar sesuatu yang baru, bersatu padu menonton beramai-ramai.”- Mohd Hakimi Man, Jurulatih B-20 Miri FA @ Jurulatih Pembangunan Negeri Sarawak

Demikian antara kenyataan-kenyataan daripada peminat bola sepak Eropah, yang tampak masih menaruh harapan tinggu supaya pihak kerajaan atau RTM selaku penyiar rasmi negara, untuk memberi ‘hadiah’ kepada rakyat Malaysia yang mahu menonton aksi Euro 2024 secara percuma ini.

Dengan pasukan-pasukan besar seperti England, Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali, Portugal, Croatia, dan Belanda yang bakal bertanding, pasti akan ada tarikan besar untuk menonton perlawanan tersebut.

Ini menjamin rating tinggi untuk mana-mana stesen TV yang menayangkan kejohanan ini dan RTM juga pastinya boleh ‘menjual’ slot slot iklan semasa penyiaran ini kepada syarikat syarikat gergasi.