PEMANDU Red Bull Racing, Max Verstappen bakal bermula pada petak utama untuk Perlumbaan Sprint Grand Prix Emilia Romagna selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan pada Jumaat.
Verstappen mencatat masa 1 minit 27.999 saat mengatasi Charles Leclerc di tempat kedua dan Lando Norris melengkapkan tiga tempat teratas untuk perlumbaan 100km tanpa hentian pit wajib itu.
Dengan adanya perlumbaan Sprint, yang pertama untuk musim ini, sesi kelayakan berlangsung pada Jumaat manakala keputusan perlumbaan Sprint pada Sabtu pula akan digunakan sebagai penentuan grid untuk perlumbaan utama pada Ahad.
Alexander Albon akan bermula dari petak terakhir selepas mengalami masalah brek manakala Yuki Tsunoda, Pierre Gasly, Nicolas Latifi dan Esteban Ocon akan bermula dari petak ke-16 hingga ke-19 selepas mencatatkan masa paling perlahan dalam sesi kelayakan satu.
Musim kurang baik Mercedes berterusan apabila kedua-dua pelumbanya, George Russell dan Lewis Hamilton hanya akan bermula di petak ke-11 dan 13. Turut sama tersingkir di sesi kelayakan kedua adalah Mick Schumacher, Guanyu Zhou dan Lance Stroll dan akan bermula pada petak ke-12, 14 dan 15 masing-masing.
Sembilan pemandu bersaing merebut petak utama pada sesi kelayakan ketiga selepas Carlos Sainz tidak mengambil bahagian selepas terbabas pada kelayakan kedua dan akhirnya Verstappen muncul pemandu terpantas untuk bermula pada petak hadapan.
“Ianya sangat sukar di luar sana kerana ianya sangat licin. Saya gembira dengan petak utama ini dan ia adalah cara yang baik untuk memulakan hujung minggu ini,” ujar Verstappen dalam sesi temubual selepas tamat sesi kelayakan.
Keputusan Sesi Kelayakan Grand Prix Emilia Romagna:
1. Max Verstappen – Red Bull
2. Charles Leclerc – Ferrari
3. Lando Norris – McLaren
4. Kevin Magnussen – Haas
5. Fernando Alonso – Alpine
6. Daniel Riccardo – McLaren
7. Sergio Perez – Red Bull
8. Valtteri Bottas – Alfa Romeo
9. Sebastian Vettel – Aston Martin
10. Carlos Sainz – Ferrari
11. George Russell – Mercedes
12. Mick Schumacher – Haas
13. Lewis Hamilton – Mercedes
14. Guanyu Zhou – Alfa Romeo
15. Lance Stroll – Aston Martin
16. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri
17. Pierre Gasly – Alpha Tauri
18. Nicolas Latifi – Williams
19. Esteban Ocon – Alpine
20. Alexander Albon – Williams