PENGERUSI Biro Lebuhraya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Nor Azman Abu Samah mendedahkan bahawa keputusan sebulat suara telah dibuat dengan memilih pelumba Nur Aisyah Mohamad Zubir untuk mewakili Malaysia ke Temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Aisyah yang merupakan pelumba dari Terengganu mempunyai rekod cemerlang memenangi dua pingat gangsa di Sukan SEA Vietnam 2022 seterusnya berjaya mendapat dua pingat perak di Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu.
Nor Azman turut menjelaskan beberapa kejayaan secara konsisten yang dirangkul oleh Aisyah telah melayakkan dirinya ke Olimpik Paris 2024 selepas Malaysia mendapat satu slot untuk membawa atlet wanita berbasikal lebuh raya ke temasya berprestij itu.
“Saya memang tidak menjangka bahawa PKBM diberi tanggungjawab untuk menghantar pelumba ke Sukan Olimpik 2024. Ianya bagai mimpi dalam mimpi kerana saya tahu tahap kesukaran untuk layak ke temasya tersebut.
“Oleh itu, kami semua sepakat memilih Aisyah berdasarkan keputusan mata paling tinggi yang diraihnya dalam acara-acara yang dia terlibat sebelum ini sejurus saya harap keberadaan coach Amir dapat bantu menajamkan lagi prestasi Aisyah.
“Saya mengikuti perkembangan Aisyah sejak 2016 dan pada setiap kejohanan saya nampak beliau sangat menunjukkan momentum cemerlang, jadi saya yakin bahawa dia tidak akan mengecewakan kita pada Olimpik 2024,” ujarnya ketika Majlis Pengumuman Pelumba Wanita ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Khamis.
Untuk rekod, kali terakhir skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan menghantar wakil ke pentas Olimpik adalah pada edisi London 2012 menerusi dua pelumba lelaki negara Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.
Jadi ini menunjukkan bahawa Malaysia telah menggalas cabaran baharu dengan menghantar pelumba wanita negara buat kali pertama ke Temasya Sukan Olimpik Paris yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.