PERNYATAAN dibuat Rexy Mainaky sedia melepaskan jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), adalah lambang kekecewaan besar seorang jurulatih yang menaruh kepercayaan besar terhadap anak didiknya.
Bekas beregu lelaki kebangsaan, Fairuzizuan Tazari berkata, kenyataan dibuat Rexy di Kota Bangkok itu boleh mengundang pelbagai tanggapan, namun baginya yang pernah berada di bawah bimbingan legenda dunia terbabit, ianya satu sifat tanggungjawab.
“Rexy memang seorang jurulatih yang sentiasa memiliki high expectation, jadi bila pemain hilang fokus, dia mudah ‘panas’ dan itu memang gayanya sejak dulu lagi, termasuk ketika kami dalam kem latihan dan kejohanan besar seperti di Sukan Asia 2006.

Fairuzizuan cukup masak dengan sikap Rexy Mainaky yang sentiasa mahu hasilkan keputusan terbaik buat pemain negara. |FOTO Instagram Fairuzizuan Tazari.
“Reaksi beremosi itu bukan kerana dia gagal, tetapi kerana dia berasa sudah berikan yang terbaik dan mahu pemain juga berada pada tahap yang sama.
“Saya tidak fikir dia (Rexy) benar-benar mahu meletak jawatan dan ia sekadar reaksi spontan ketika beremosi,” kata Fairuzizuan kepada Flash Sukan.
Fairuzizuan lebih dikenali bergandingan bersama Zakry Latif, namun, pada Sukan Asia 2006, dia bergandingan dengan Lim Woon Fui dan hanya lolos ke pusingan kedua, ketika Koo Kien Keat-Tan Boon Heong muncul pemenang pingat emas dengan menewaskan jagoan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto di final.

Fairuzizuan Tazari-Zakry Latif dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pernah menjadi tonggak beregu lelaki negara.
Justeru, Fairuzizuan meminta semua pihak untuk tidak mengadili pemenang pingat emas Olimpik Atlanta 1996 dan juara dunia 1995 itu, ketika dia berada dalam marah.
“Dia sudah membina dan menyumbang banyak kepada badminton Malaysia tetapi ramai yang tidak nampak kerja keras dia dan saya berharap dia akan kekal kerana sudah banyak mencorak pembangunan pemain negara.”