KUARTET 4X100 meter (m) lelaki negara, mencipta baharu kebangsaan di Stadium Nasional Suphachalasai, Bangkok, ketika menamatkan acara itu dengan pingat perak, pada saingan Sukan SEA ke-33.
Biarpun dibarisi tiga muka baharu, pelari negara yang terdiri daripada Alif Iman Mohd Fahimi, Pengiran Aidil Auf Hajam, Jonathan Nyepa dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee mempamerkan larian sempurna tanpa memikirkan reputasi besar Thailand yang diketuai Puripol Boonson.
Komitmen jitu keempat-empat pelari negara itu membolehkan mereka menamatkan larian dengan catatan 39.03 saat (s), 0.06 saat lebih pantas daripada rekod yang dilakukan pada Temasya Hanoi.
Pada acara itu, Thailand memenangi emas dengan rekod baharu temasya menerusi catatan 38.28s, manakala Indonesia yang diketuai Lalu Muhammad Zohri pula pingat gangsa.

Pada Sukan SEA Vietnam 2021, kuartet terdiri daripada Jonathan, Muhd Azeem Fahmi, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail melakukan catatan 39.09s untuk memenangi perak di belakang Thailand (38.58s).
Namun pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Malaysia sekadar memenangi gangsa menerusi gandingan Jonathqn, Khairul Hafiz Jantan, Mohamad Eizlan Dahalan dan Muhammad Arsyad Md Saat.
Hasrat melihat kuartet 4x100m wanita untuk mempertahan pingat gangsa yang dimenangi pada dua edisi lalu tidak kesampaian, apabila menarik diri dari perlumbaan.