KETUA Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon bukan sahaja berjaya membawa kejayaan kepada skuad Harimau Malaya tetapi dia juga menjadi pemangkin kepada syarikat permotoran Korea Selatan, KIA untuk menjalin kerjasama strategik bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
KIA menerusi syarikat tempatan, DinamikJaya Sdn Bhd akan menjadi rakan rasmi automotif FAM yang membekalkan tiga unit kenderaan rasmi buat barisan kejurulatihan dan pasukan.
Majlis penyerahan kenderaan itu itu telah berlangsung di Pusat 3S Kia Flagship yang baharu di Glenmarie, Shah Alam pada Isnin dan dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram.
Kia Malaysia Jalin Kerjasama Bersama FAM
Baca siaran media penuh di https://t.co/ltUX9168Cx#FAM #HarimauMalaya #FAMxKia pic.twitter.com/eBImhC4F1D
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 22, 2022
Turut serta adalah barisan Exco FAM, Datuk Sri Shahril Mokhtar, Syed Yazid Syed Omar dan Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar serta Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon bersama barisan kejurulatihannya.
Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Auto Sdn Bhd/Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Datuk Amer Hamzah Ahmed berkata, DMJ komited terhadap pembangunan sukan di Malaysia di mana sukan adalah salah satu medium untuk mencipta serta menggalakkan persekitaran yang sihat demi membangunkan negara.
“Kerjasama ini adalah sebagai sebahagian daripada gerakan untuk menginspirasi dari kami. Bola sepak mempunyai daya tarikan paling tinggi di negara ini. Kami melihatnya sebagai peluang buat kami untuk mencipta kesedaran tentang jenama kami.
“KIA memenuhi banyak profail individu. Buat masa ini kita memfokuskan kepada varian eksekutif serta keluarga dan mungkin pada masa akan datang kami akan memfokuskan kepada semua jenis pengguna,” katanya dalam sidang media.
Sementara itu Exco FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata kerjasama ini akan membantu barisan kejurulatihan dan inspirasi juga bertepatan dengan matlamat FAM selain hubungan baik jurulatih dan jenama dari Korea Selatan.

Kim Pan Gon bersama KIA Carnival 2022
“Kerjasama ini sudah semestinya menyokong sistem untuk pasukan kejurulatihan kami dari sudut pengangkutan dan misi inspirasi ini juga selari dengan misi FAM dalam menginspirasi penyokong selain hubungan baik Ketua Jurulatih Kim Pan Gon dan jenama yang kedua-duanya berasal dari Korea Selatan.”
Kenderaan jenis KIA Carnival 2022 itu akan digunakan barisan kejurulatihan FAM sebagai kenderaan rasmi dengan KIA berharap kerjasama ini dapat meningkatkan kesedaran jenama sekaligus membantu jualan.