UiTM Cawangan Perak mengharumkan nama universiti apabila muncul juara Kejohanan Liga Bola Sepak IPT Divisyen 3 Tahun 2026 selepas menewaskan City University menerusipenentuan sepakan penalti 5-4 setelah keputusan masa penuh berakhir 1-1 pada aksi final yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, semalam.
Kejohanan yang berlangsung dari 9 hingga 16 Ogos 2026 itu menghimpunkan 14 pasukan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara bagi merebut gelaran juara Divisyen 3.
Perjalanan UiTM Cawangan Perak menuju kejuaraan cukup meyakinkan apabila membuka kempen peringkat kumpulan dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas TAR UMT sebelum membenam INTEC 3-0 untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati.
Di suku akhir, UiTM Cawangan Perak terus mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan KPTM Kota Bharu 4-0. Cabaran paling getir hadir pada separuh akhir apabila mereka berdepan UniMAP dalam perlawanan sengit sebelum berjaya mencatat kemenangan 3-2 untuk melangkah ke pentas final.
Pada perlawanan akhir, skuad kendalian Shahreen Nizam Sharuddin tampil penuh disiplin dan bertenaga. Gol pasukan UiTM Perak dijaringkan oleh Muhammad Danial Zarfan Zainal manakala Muhammad WafieOthman menjaringkan gol penyamaan City University.
Penjaga Gol UiTM Cawangan Perak, Muhammad Khairul Fahmi muncul wira pasukan apabilamenyelamatkan dua sepakan penalti dan menjaringkanpenalti terakhir pasukan yang memastikan trofikejuaraan menjadi milik UiTM Cawangan Perak.
Kejayaan itu turut diserikan dengan penguasaananugerah individu apabila Muhammad Khairul Fahmi di nobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.
Sebagai juara, UiTM Cawangan Perak membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM5,000.00, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti sebagai antara pencabar utama dalam arena bola sepak institusi pengajian tinggi negara.
Ketua Jurulatih UiTM Cawangan Perak, Shahreen Nizam Sharuddin, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil daripada semangat juang yang tinggi, kepercayaan diri pemain serta penerapan mentaliti juara sepanjang kejohanan.
“Semangat juang dan kepercayaan diri yang tinggi, selain mentaliti juara yang diterapkan dalam pasukan, menjadi tunjang kepada kejayaan ini.
“Taktikal yang dirancang oleh barisan jurulatih hanyalah panduan, namun kejayaan sebenar ditentukan oleh bagaimana pemain menterjemahkan taktikal tersebut di atas padang ketika perlawanan berlangsung,” katanya.
Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan UiTM Cawangan Perak dalam memperkasakan pembangunan sukan universiti, khususnya bola sepak, melalui latihan yang sistematik, kepimpinan jurulatih yang berkesan serta dedikasi tinggi para atlet.
Pengurus pasukan UiTM Cawangan Perak, Muhammad Farid Muhamad Ismail turut merakamkan setinggi-tinggipenghargaan kepada pihak pengurusan universiti, barisan kejurulatihan, pegawai pasukan, penyokong dan semua pihak yang telah memberikan sokongan padu sehingga kejayaan bersejarah ini dapat direalisasikan.