IMPIAN Lee Zii Jia untuk melonjak mata ranking dunia menjelang saingan Piala Thomas hujung bulan depan, semakin sukar apabila terkandas awal di Masters Orleans 2026.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara itu gagal melangkah ke undian utama selepas tersingkir di pusingan kelayakan kejohanan berstatus Super 300 Jelajah Dunia itu sebentar tadi.

Pemenang gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu tewas kepada pemain muda China, Dong Tian Yao, dalam aksi pusingan kedua kelayakan yang berlangsung selama 36 minit.

Dalam perlawanan itu, Zii Jia yang berada di ranking ke-86 dunia tewas straight set 18-21, 14-21 kepada Tian Yao yang berada di kedudukan ke-74 dunia.

Pada Terbuka Switzerland, pemain itu tersingkir di pusingan pertama undian utama.

Ketika ini, Zii Jia menjadi perseorangan lelaki ketujuh terbaik Malaysia dalam ranking dunia, di belakang Leong Jun Hao (23), Justin Hoh (38), Aidil Sholeh (51), Kok Jing Hong (76), Eogene Ewe (77), dan Cheam June Wei (81).