PASUKAN Young Tigers menamatkan kempen Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di tempat kelima selepas berjaya menewaskan New Zealand 5-3 dalam aksi penentuan tempat ke-5/6 petang tadi.
Anak buah Nor Saiful Zaini bermula garang apabila menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti Harris Iskandar seawal minit ke-2 sebelum Haziq Zunnurain menjaringkan gol padang lapan minit kemudian.
Tiga lagi gol Young Tigers berjaya dijaringkan oleh Danish Aiman menerusi penalti stroke pada minit ke-44, Azimuddin Shakir (gol pukulan sudut penalti) pada minit ke-47 dan Danish Irfan (gol padang) pada dua saat terakhir perlawanan.

Azimuddin Shakir (dalam gambar) dan Naaveenesh Panicker menjaringkan tiga gol buat skuad negara sepanjang kempen SOJC 2025.
New Zealand pula cuba bangkit dengan tiga gol hasil jaringan Bradley Rothwell (gol padang) pada minit ke-32, Jordan Whittleston (gol padang) pada minit ke-56 dan Dean Clarkson (gol pukulan sudut penalti) pada minit akhir perlawanan.
Menurut pengendali Malaysia, Nor Saiful Zaini berasa puas hati dengan gaya permainan yang ditunjukkan oleh Young Tigers hari ini.

“Kami bermula dengan baik sejak awal permainan dan berjaya mencipta peluang dengan banyak tetapi kami hanya mampu untuk menjaringkan 5 gol sahaja.
“Pada pandangan saya jika kami bermain lebih pantas, kita mungkin boleh menjaringkan lebih daripada 5 gol kerana kita terlepas lebih kurang lima peluang penting.

Fokus Young Tigers kini tertumpu kepada persiapan pasukan untuk kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja yang akan berlangsung bulan hadapan
“Persiapan kami sepanjang 4 hingga 5 bulan ini berada pada tahap yang baik namun masih ada cabaran yang kami dapat lihat. Inilah kelebihan kejohanan ini kerana kami dapat belajar banyak perkara dan dapat memperkemaskan lagi pasukan menjelang Piala Dunia Hoki Remaja nanti,” katanya selepas perlawanan.
Fokus Young Tigers kini tertumpu kepada persiapan pasukan untuk kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja yang akan berlangsung di Tamil Nadu, India pada 29 November ini.