SISTEM pengurusan laman sesawang rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), iaitu Competition Management System (CMS FAM), dilaporkan digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan data dan rekod statistik bola sepak negara.
Serangan siber itu dipercayai bermula hari ini, dengan akses ke portal berkenaan kini disekat sementara bagi tujuan keselamatan dan penyiasatan lanjut oleh pasukan teknikal FAM.
CMS FAM merupakan platform penting yang menyimpan pelbagai maklumat rasmi termasuk rekod pemain, statistik perlawanan, pendaftaran pasukan dan dokumen pertandingan di bawah kelolaan FAM.

Setakat ini, FAM belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden berkenaan namun dijangka akan berbuat demikian selepas laporan penuh keselamatan disiapkan.
Insiden ini hadir ketika badan induk bola sepak negara itu sedang berdepan tekanan susulan isu penggantungan beberapa pemain warisan oleh FIFA menjadikan ancaman siber ini satu lagi ujian getir terhadap keutuhan pentadbiran dan pengurusan teknikal FAM.
Dengan kepentingan data dalam era digital bola sepak moden, semua pihak kini menantikan penjelasan lanjut daripada FAM tentang sejauh mana sistem CMS terjejas dan langkah segera yang akan diambil untuk memastikan perkara sama tidak berulang.