USAHA memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi di Selangor terus diperkasa apabila sebuah hospital pakar di Shah Alam menjalinkan kerjasama strategik bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam satu inisiatif yang menyasarkan pembangunan bakat muda serta pengukuhan liga sosial di negeri ini.
Kerjasama itu diumumkan hari ini dengan matlamat memperkasa ekosistem bola sepak yang lebih inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan komuniti, selari aspirasi Selangor sebagai antara peneraju sukan di peringkat nasional.
Menerusi kolaborasi berkenaan, Hospital tersebut akan menyokong inisiatif pembangunan akar umbi FAS yang memberi tumpuan terhadap aspek kesihatan, kecergasan serta pemulihan dalam kalangan pemain dan jurulatih.
Langkah itu dilihat mampu membantu melahirkan pemain berkualiti sejak peringkat awal dengan penekanan terhadap penjagaan kesihatan menyeluruh dan pencegahan kecederaan, sekali gus memastikan pembangunan bakat dilakukan secara lebih sistematik dan profesional.

Kerjasama strategik ini turut merangkumi sokongan terhadap liga sosial anjuran FAS yang membabitkan penyertaan ahli gabungan FAS, pihak berkuasa tempatan, komuniti setempat, syarikat korporat serta peminat bola sepak.
Liga berkenaan merangkumi kategori junior, belia dan dewasa termasuk pasukan wanita, dan berperanan sebagai platform penting dalam pembangunan bola sepak akar umbi selain menjadi medium penyatuan komuniti bola sepak di seluruh Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar tersebut, Akim Affandi Ahmad, berkata pihaknya berbangga dapat menjalin kerjasama berteraskan semangat pembangunan komuniti, pemerkasaan belia serta kecintaan terhadap sukan bola sepak.
“Kami sentiasa percaya bahawa penjagaan kesihatan melangkaui dinding hospital. Ia merangkumi usaha memelihara kesejahteraan masyarakat dengan visi untuk menjadi hospital komuniti pilihan rakyat Selangor.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menyokong inisiatif bola sepak akar umbi yang menggalakkan amalan hidup sihat, memberi inspirasi kepada generasi atlet baharu serta membuka lebih banyak peluang dalam aktiviti fizikal dan penglibatan komuniti,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil, menyifatkan jalinan berkenaan sebagai selari dengan objektif FAS di bawah tunjang Inisiatif Berimpak dan Kerjasama yang Utuh, selain diyakini mampu memberi impak positif jangka panjang terhadap pembangunan bola sepak akar umbi serta kesejahteraan komuniti di negeri itu.