BEKAS beregu lelaki nombor empat dunia, Mohd Zakry Latif belum menerima tugasan khas daripada ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak namun mengakui gembira dapat kembali berpijak di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurutnya, hari pertama melapor diri semalam (Rabu) untuk beliau menyusuaikan diri dengan suasana baharu di ABM, selepas beliau sebelum ini aktif melatih pemain di akademinya sendiri.
“Belum ada arahan tugasan khas kepada saya pada hari pertama melapor diri, tapi saya dapat rasakan getaran positif,” kata Zakry kepada Flash Sukan.
Meskipun kehangatan perayaan Tahun Baru Cina masih dirasakan, Zakry berkata, semua pemain termasuk beregu utama sudah menjalani latihan dan hanya bercuti sehari sahaja.
“Suasana di gelanggang latihan cukup positif dan saya mengambil peluang menyesuaikan diri dengan semua pemain agar tiada rasa jurang antara kami.”

Zakry (kiri) turut menggalas jawatan sebagai jurulatih bagi skuad universiti Malaysia sebelum ini.
Menurutnya, skuad beregu wanita kini berada dalam aura positif dengan prestasi memberangsangkan beberapa pasangan remaja yang mula menyerlah di pentas antarabangsa.
“Sudah tentu setiap pemain ada kualitinya, ada yang sudah menyerlah, ada yang sedang meningkat… jadi tugas saya adalah memgangkat lagi kemampuan mereka untuk menjadi pesaing sehebat Pearly Tan-M Thinaah.
“Apapun, saya perlu tunggu tugasan yang akan diberikan jurulatih Rosman kepada saya,”ujar Zakry lagi.
Untuk rekod, sebelum ini Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky beberapa kali melamar Zakry untuk menjadi barisan kejurulatihan BAM, namun hanya lamaran yang dibuat hujung tahun lalu, diterima.
Zakry pernah bernaung di bawah BAM sebagai bermain dan pernah bergandingan dengan Fairuzizuan Tazari, Gan Teik Chai, Ong Soon Hock dan Tan Bin Shen.