PENGENDALI Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris mengakui masih terlalu awal untuk pasukannya memikirkan tentang mempertahankan kejuaraan liga sebaliknya hanya mahu fokus kepada setiap perlawanan dalam Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025.

Selepas berakhir empat perlawanan, Mat Zan berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan barisan pemainnya apabila masih mengekalkan rekod tanpa kalah dengan tiga kemenangan dan satu keputusan seri dan dia berharap perkara ini dapat diteruskan sepanjang musim ini.

Dia juga gembira dengan aksi yang dipamerkan pemain importnya, Thankgod Michael yang banyak membantu pasukan dengan penyerang Nigeria itu kini sudah menjaringkan lima gol dari empat penampilan.

Pengendali Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris

“Terlalu awal untuk kami mengatakan tentang kejuaraan kerana masih banyak perlawanan perlu dilalui dan kami perlu bersedia untuk musim yang panjang ditambah liga musim ini lebih kompetitif dengan pasukan-pasukan sedia ada dan pasukan baharu.

“Kehadiran Thankgod Michael banyak membantu pasukan dan saya berharap dia dapat tingkatkan lagi tahap permainannya selain pemain-pemain berpengalaman yang memberikan persembahan baik dan harap mereka dapat membentuk persefahaman lebih mantap,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Bercakap mengenai persiapan untuk menghadapi pasukan PT Athletic di Stadium UKM pada Sabtu, Mat Zan menegaskan pasukannya sudah mempunyai perancangan dan persiapan rapi kerana sedar dengan ancaman yang bakal diberikan.

Kehadiran Thankgod Michael membantu pasukan dari sudut serangan

“PT Athletic mempunyai beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra dan Amri Yahyah dan kami sudah mengkaji permainan mereka dan mempunyai perancangan untuk menghadapi perlawanan ini.

“Lawan kali ini mempunyai gaya yang sama seperti menentang Bunga Raya Damansara sebelum ini dan meskipun tanpa Nasriq Baharudin, kami mempunyai pemain lain di bahagian itu dan sudah bersedia untuk perlawanan pada Sabtu,” jelasnya.

Selepas berakhir empat perlawanan, Imigresen FC kini ditangga ketiga liga dengan 10 mata berkongsi dengan Kuala Lumpur Rovers, Bunga Raya Damansara dan Melaka FC tetapi dibezakan oleh perbezaan jaringan.