KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak bimbang dengan prestasi semasa perseorangan lelaki negara termasuk Lee Zii Jia, Justin Hoh dan Leong Jun Hao sebaliknya yakin skuad negara mampu menyerlah pada saingan Thomas Cup 2026 di Horsens, Denmark bulan depan.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, keyakinan itu tetap utuh walaupun prestasi pemain profesional negara seperti Lee Zii Jia ketika ini dilihat agak tidak menentu.
Beliau menegaskan seluruh rakyat Malaysia tidak boleh terlalu cepat berputus asa terhadap kemampuan pemain negara walaupun ada yang mencatat keputusan kurang memberangsangkan dalam beberapa kejohanan.
“Apa yang paling penting adalah kita tidak lemah semangat terlalu awal kerana saya tetap optimis skuad negara mampu memburu kemenangan bergaya pada saingan Piala Thomas nanti,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mahu peminat kekal tenang dan memberi sokongan padu kepada pemain badminton negara yang bakal menggalas cabaran di Piala Thomas.
Menurutnya, KBS sentiasa berhubung rapat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memastikan prestasi semua pemain terus dipantau dan berada pada tahap terbaik.
“Saya sentiasa berhubung dengan BAM untuk memastikan prestasi semua pemain akan terus baik dan pada masa sama pemain juga perlu kekal fokus dengan sasaran mereka,” katanya.
Prestasi Zii Jia sebelum ini mencetuskan tanda tanya apabila tersingkir seawal pusingan pertama Swiss Open 2026 di Basel selepas tewas kepada pemain Singapura, Jason Teh.
Bagaimanapun pemenang gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu sudah menyatakan kesediaan untuk kembali memperkuatkan pasukan negara bagi menghadapi kempen Piala Thomas yang berlangsung dari 23 April hingga 3 Mei ini.