“MASIH ada dua perlawanan lagi, jangan tunduk!” Itu pesanan tegas kapten skuad hoki negara, Marhan Jalil yang terus menyuntik semangat rakan sepasukan biarpun kecewa gagal mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH 2025 selepas hanya menang tipis 2-1 ke atas Jepun, pada perlawanan penutup kumpulan B.
Perkara itu didedahkan oleh tonggak pertahanan, Nik Aiman Nik Rozemi yang menyifatkan kata-kata Marhan sebagai ‘wake up call’ kepada semua pemain agar kekal fokus menghadapi aksi klasifikasi tempat kelima menentang Afrika Selatan.
“Lepas game tadi, Marhan memang marah. Tapi marah dia bukan kosong, dia bagi semangat dan ingatkan kami yang kita masih ada dua game lagi. Kita semua dah bagi usaha penuh, tapi rezeki tak memihak,” kata Aiman yang kembali hampir ke prestasi terbaiknya selepas lama menyepi.
Menurut Aiman, kekalahan sebelum ini dan kekecewaan terkini seharusnya jadi pengajaran buat pemain muda, selain menjadi isyarat jelas bahawa Malaysia tak boleh terus berada di takuk lama jika mahu bersaing di pentas lebih besar.

Alfarico Liau (jersi kuning) diasak pemain Jepun ketika mengawal bola pada perlawanan terakhir kumpulan B. FOTO | FIH
“Benda ni saya dah lalui banyak kali. Tapi untuk pemain muda, ini masa untuk belajar. Kita tak boleh duduk di zon selesa. Kalau nak ke depan, kena gandakan usaha, bukan harap pada semangat saja,” katanya.
Marhan pula menegaskan, walaupun menang, keputusan ke atas Jepun tidak cukup untuk menghidupkan kempen separuh akhir kerana Malaysia perlu menang dengan kelebihan dua gol. Namun beliau tetap berpuas hati dengan semangat juang yang dipamerkan anak buahnya.
“Walaupun kami kecewa, kami belum habis. Saya harap pemain kekal fokus untuk tamatkan kempen ini sekurang-kurangnya di tempat kelima. Banyak perkara kita boleh baiki dari kejohanan ini, dan ia penting untuk bina pasukan lebih mantap menuju Sukan Asia,” katanya.
Malaysia dijadual menentang Afrika Selatan dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima esok, dan Marhan mahu semua pemain memberi perhatian penuh kerana lawan dari benua Afrika itu memiliki kualiti individu yang tidak boleh dipandang enteng.