PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar, tidak dapat menyembunyikan rasa bangga terhadap komitmen dan usaha yang dipamerkan oleh anak buahnya dalam kemenangan 2-1 ke atas Pahang FC malam tadi.
Kejayaan ini merupakan kemenangan pertama Negeri Sembilan FC di Paroi musim ini, sekali gus memberikan mereka tiga mata berharga dalam saingan Liga Super.
“Memang kita tak menang dekat home sebelum ini. Jadi, ini kali pertama kita menang. Saya sangat bangga dengan pemain saya. Apa yang mereka berikan malam ini selama 90 minit, saya memang gembira dan memuji mereka kerana pemain bekerja keras malam ini,” ujar Nanthakumar selepas perlawanan.
Dia turut memuji kesungguhan pemain The Jangs yang berjaya mengekalkan disiplin sepanjang perlawanan. Menurutnya, para pemain memanfaatkan peluang yang terhidang untuk mencipta kelebihan dalam perlawanan ini.