BOLA sepak Malaysia dikejutkan dengan tindakan tegas Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kebangsaan selepas didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vítor Brandão Figueiredo, Jon Izazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. Mereka didapati menggunakan dokumen yang telah diubah suai bagi membolehkan diturunkan ketika aksi menentang Vietnam dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 pada 10 Jun lalu.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan FAM sebelum ini ada mengemukakan pertanyaan mengenai status kelayakan pemain, namun dokumen yang diproses ternyata tidak sahih. Situasi itu membawa kepada siasatan lanjut selepas FIFA menerima aduan rasmi mengenai beberapa pemain import naturalisasi skuad Harimau Malaya.

sumber:FIFA

sumber:FIFA

Selepas meneliti semua bukti, FIFA menjatuhkan hukuman denda CHF 350,000 (RM1.8 Juta) kepada FAM, manakala tujuh pemain terbabit masing-masing turut didenda CHF 2,000 (RM 10 ribu). Lebih berat, kesemua mereka digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak berkuat kuasa serta-merta.

Hukuman ini sekali gus memberi tamparan hebat kepada Harimau Malaya yang bergantung kepada khidmat pemain-pemain tersebut, apatah lagi dalam usaha melayakkan diri ke pentas antarabangsa.

Insiden ini bakal menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan proses pendaftaran pemain serta tahap pemantauan dalaman, selain membuka ruang perdebatan tentang bagaimana isu sebegini boleh berlaku di peringkat tertinggi.

FAM setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan FIFA, namun pasti tekanan semakin memuncak susulan tindakan disiplin yang memberi kesan langsung terhadap reputasi bola sepak Malaysia.

Dengan penggantungan panjang dan denda besar, masa depan skuad negara kini berdepan cabaran getir yang bukan sahaja membabitkan prestasi di padang, tetapi juga integriti pengurusan bola sepak tempatan.