PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat wajar mengambil alih sepenuhnya Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan pembangunan akar umbi bola sepak negara berjalan dengan lebih terarah dan selari.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan tanggungjawab itu secara semula jadi terletak pada badan induk bola sepak negara, selain menyatakan kesediaan FAM untuk memacu NFDP ke tahap lebih tinggi demi melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti.

“Walaupun berdepan beberapa kekangan termasuk soal dana, FAM sudah bersedia mengambil alih NFDP jika diminta berbuat demikian. Sebagai badan induk, FAM sudah cukup bersedia memainkan peranan lebih besar demi pembangunan akar umbi bola sepak negara,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John turut menegaskan bahawa pembangunan bola sepak sepatutnya berada di bawah FAM dan bukannya kerajaan, selaras dengan sistem yang diamalkan di seluruh dunia.

Namun, pandangan berbeza turut dilontarkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang berpendapat NFDP wajar kekal di bawah MSN, sambil menekankan bahawa FAM tidak boleh bergantung kepada dana kerajaan jika mahu mengambil alih program tersebut.

Mengulas perkara itu, Datuk Wira Mohd Yusoff berkata beliau menghargai setiap pandangan dan teguran demi kebaikan bola sepak Malaysia. Beliau menyeru kerjasama semua pihak untuk memperkukuh NFDP demi manfaat jangka panjang.

“Segala kritikan itu boleh dijadikan panduan untuk kita tambah baik NFDP. Apa yang penting kita sama-sama mendapat input positif bagi meningkatkan mutu dan kualiti NFDP,” ujarnya.

Langkah FAM mengambil alih NFDP bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi merupakan peluang strategik untuk membina sistem pembangunan yang lebih konsisten, terancang dan berkesan, sekali gus memastikan Malaysia mampu melahirkan generasi pemain yang bukan sahaja berbakat tetapi mampu berdaya saing di peringkat Asia dan dunia.