HANYA beberapa jam lagi sebelum sepak mula Piala Dunia Qatar, Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa)  Infantino menuduh negara-negara Barat sebagai “hipokrit” dan mendakwa mereka tidak layak untuk memberikan “pengajaran moral” kepada negara lain.

Dalam sidang akhbar yang ‘berapi-api’ di ibu negara Qatar menjelang kejohanan itu, Infantino berkata Eropah harus menangani jenayah lampaunya sebelum menuding jari kepada Qatar.

“Saya orang Eropah. Bagi apa yang kita, orang Eropah lakukan di seluruh dunia sejak 3,000 tahun yang lalu, kita harus memohon maaf untuk 3,000 tahun akan datang sebelum mula memberi pengajaran moral kepada orang ramai,” Infantino memberitahu ratusan wartawan.

Qatar, mendapat hak menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak berprestij dunia pada 2010, telah menerima kritikan kerana layanannya terhadap pekerja asing dan rekod hak asasi manusia.

Infantino, anak kepada buruh asing dari Itali berkata, negara Timur Tengah itu telah “mencapai kemajuan” dalam meningkatkan hak pekerja asing.

“Saya datang ke sini enam tahun lalu dan segera menangani masalah pekerja asing, dalam pertemuan pertama saya,” kata Infantino, yang berhenti sejenak sambil memandang tepat ke arah wartawan yang berkumpul.

“Berapa banyak daripada syarikat perniagaan Eropah atau Barat ini, memperoleh jutaan pendapatan dan berjuta-juta dari Qatar dan negara lain di rantau ini, berbilion-bilion setiap tahun, berapa ramai daripada mereka yang menangani hak pekerja asing dengan pihak berkuasa?

“Saya ada jawapan untuk awak. Tiada seorang pun daripada mereka,” kata bos FIFA itu, sambil menambah “pelajaran moral yang berat sebelah hanyalah hipokrit.”

Homoseksualit adalah haram di negara ini, tetapi Qatar mengalu-alukan semua peminat untuk menyaksikan perlawanan.

“Saya telah bercakap mengenai topik ini dengan kepimpinan tertinggi negara. Beberapa kali, bukan hanya sekali. Mereka telah mengesahkan, saya boleh mengesahkan, bahawa semua orang dialu-alukan,” kata presiden Fifa itu.

Dalam ucapan kepada pemberita pada akhir sidang akhbar, ketua media Fifa Bryan Swanson, yang seorang gay, menegaskan semua orang dialu-alukan di Qatar.

“Saya telah melihat banyak kritikan terhadap Gianni Infantino sejak saya menyertai Fifa, khususnya daripada komuniti LGBTQ,” kata Swanson.

“Saya duduk di sini dalam kedudukan istimewa di pentas global sebagai lelaki gay di Qatar. Kami telah menerima jaminan bahawa semua orang dialu-alukan dan saya percaya bahawa semua orang akan dialu-alukan dalam Piala Dunia ini,” tambahnya.

Penyokong MExico berkumpul di Souq Waqif sebelum aksi Piala Dunia FIFA di Qatar bermula.

Pengkritik juga mempersoalkan Qatar, negara pertama di dunia Arab yang menganjurkan pertandingan itu, kerana melarang penjualan alkohol dalam stadium ketika kejohanan itu berlangsung.

“Setiap keputusan yang diambil dalam Piala Dunia ini, ia adalah keputusan bersama antara Qatar dan Fifa. Setiap keputusan dibincangkan, dibahaskan dan diambil bersama. Akan ada, saya tidak tahu berapa banyak, zon peminat… lapan, 10, zon peminat besar, lebih 200 tempat di mana anda boleh membeli alkohol,” kata Infantino.

Beliau juga menegaskan ini bukan perkara luar biasa kerana minum di dalam stadium bola sepak dilarang di negara besar Eropah seperti Perancis, Sepanyol, Portugal dan Scotland.

Walaupun beberapa pengkritik menggesa syarikat memboikot Piala Dunia, Infantino memuji “kejayaan komersial” kejohanan tahun ini.

“Kami menjual hak media sekitar $200 juta lebih daripada Piala Dunia yang lalu,” katanya. “Kami menjual hak penajaan juga sekitar $200 juta lebih daripada Piala Dunia lalu.

“Dan setakat ini, hak tiket dan hospitaliti, kami berada pada hampir 200 hingga 300 juta lebih daripada Piala Dunia yang lalu.”

Qatar akan memulakan kejohanan menentang Ecuador. Infantino berkata negara Teluk itu telah melakukan kerja yang mengagumkan dalam persediaan untuk perlawanan itu.

“Doha sudah bersedia. Qatar sudah bersedia. Ia akan menjadi Piala Dunia terbaik yang pernah ada, sudah tentu,” katanya.