JULES Kounde bernasib baik kerana tidak dilayangkan kad selepas pertahanan Perancis itu dilihat memakai rantai leher emas ketika perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia menentang Poland kelmarin.
Mengikut peraturan nombor 4 peraturan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), “Pemain tidak boleh memakai peralatan atau objek berbahaya. Semua jenis aksesori perhiasan adalah dilarang”.
Bagaimanapun, pengadil mahupun penolong pengadil tidak menyedari kesalahan itu sehingga minit ke-40 dan Kounde terpaksa menanggalkan rantai dengan bantuan staf kejurulatihan Les Bleus.
Susulan insiden itu, ketua jurulatih Perancis Didier Deschamps berang terhadap pertahanan Barcelona itu.

Staf kejurulatihan Perancis terpaksa membantu membuka rantai leher dari Kounde.
“Saya tidak tahu apa yang ada pada rantai itu, tetapi saya tahu dia percaya dengan benda karut dan dia juga memakainya ketika sesi latihan,” kata Deschamps selepas perlawanan.
“Saya tidak tahu apa maksud kalung itu kepadanya, tetapi saya memberitahunya dia sangat bertuah kerana saya tidak melihatnya ketika itu.
“Pengadil memberitahu kami sebaik sahaja permainan dihentikan, dia terpaksa menanggalkannya. Jika saya melihat dia memakainya di bilik persalinan, saya akan memberitahunya untuk menanggalkannya sebelum dia keluar ke padang.
“Anda tidak boleh bermain bola sepak dengan memakai cermin mata hitam atau jam tangan atau cincin. Ia tidak dibenarkan, saya fikir dia sudah menanggalkannya, tetapi dia tidak melakukannya. Ini salah kami, kesilapan kami dan ia tidak akan berlaku lagi.” – AGENSI