PEMERHATI bola sepak Amerika Selatan menganggap kekalahan Brazil di Piala Dunia FIFA Qatar 2022 bagaikan ada kematian di dalam ahli keluarga dan ini yang akan dirasakan oleh para penyokong Brazil dalam beberapa hari ini dan luka ini akan menghantui mereka buat tempoh yang panjang.

Brazil sebelum ini menari samba layak ke suku akhir Piala Dunia tetapi impian mereka hancur berkecai apabila tewas 4-2 menerusi penentuan penalti kepada Croatia di Stadium Education City pada Jumaat.

Croatia mengajar bintang-bintang Brazil menerusi penalti untuk menamatkan harapan Brazil muncul juara dunia buat kali keenam apabila sekali lagi dihantar pulang oleh pasukan dari Eropah sekali lagi.

 

Ini adalah kekalahan keenam Brazil kepada pasukan Eropah di Piala Dunia dengan kali terakhir mereka berjaya menewaskan pasukan Eropah adalah pada final 2002 dimana mereka muncul juara mengenepikan cabaran Jerman.

Neymar kelihatan seperti sudah menjadi hero buat Brazil apabila menjaringkan gol pembukaan pada babak pertama masa tambahan sekaligus menyamai rekod jaringan Pele namun terpaksa meninggalkan stadium dalam keadaan sedih kerana ini mungkin Piala Dunianya yang terakhir.

Selepas perlawanan berakhir jurulatih Brazil, Tite mengesahkan dia bakal meletak jawatan manakala Neymar memberi bayangan untuk bersara dari arena antarabangsa.

Tite

“Ianya sememangnya keputusan yang sangat sukar namun masa saya bersama pasukan Brazil sudah berakhir dan saya telah katakannya sejak setahun setengah yang lalu.

“Bukan saya seorang yang tewas tetapi keseluruhan pasukan juga tewas. Kami cuba untuk fokus kepada peluang dan kami mempunyai 19 peluang dengan 11 percubaan tepat manakala Croatia tidak mempunyai satu pun percubaan.

“Saya faham saya yang akan dipertanggungjawabkan atas kekalahan ini tetapi kekalahan ini juga adalah tanggungjawab semua. Inilah bola sepak, kadang kala kita menang kadang kala kita kalah,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu Presiden Brazil, Inacio Lula mengucapkan tahniah kepada pasukan ini melalui laman Twitter rasminya meskipun gagal ke separuh akhir dan menyeru semua penyokong untuk melupakan kekecewaan ini.

“Brazil telah bekerja keras dengan Neymar menjaringkan gol yang sangat cantik dan pasukan ini berhak untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Saya memberikan penghormatan buat pemain serta pengendali pasukan dan marilah kita semua lupakan perkara ini kerana dalam hidup kita tidak boleh berputus asa,” tulisnya.

Kekalahan ini menyaksikan skuad Brazil menjadi pasukan pertama yang tersingkir dari pusingan kalah mati selepas menjaringkan gol pembukaan ketika masa tambahan dalam sejarah Piala Dunia.