SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penggunaan dokumen yang dipalsukan membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas hukuman mengejut dijatuhkan oleh FIFA pada Jumaat malam.
Menurut FMT, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Zainul Darus, akan ditugaskan untuk menghubungi FIFA bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tuduhan tersebut. Katanya, langkah itu penting bagi menentukan sama ada kesalahan terbabit jatuh dalam bidang kuasa SPRM atau sebaliknya.
Semalam, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengumumkan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) manakala tujuh pemain terbabit masing-masing didenda 2,000 franc Swiss (RM11,000) selain digantung 12 bulan serta-merta.
Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vítor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. Kesemua mereka diturunkan ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu yang menyaksikan Malaysia menang 4-0.
FIFA memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai status kelayakan beberapa pemain tersebut sebelum membuka siasatan di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Bagaimanapun, Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menegaskan badan induk itu akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan menekankan bahawa segala proses dokumentasi telah dibuat dengan penuh ketelusan serta garis panduan yang ditetapkan.
Laporan dari Indonesia pada Julai lalu turut mendakwa kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam bakal dibatalkan kerana beberapa pemain naturalisasi tidak layak mewakili negara, namun FAM menolak tuduhan itu sebagai tidak berasas.
TAMAT