SKUAD futsal Pahang Rangers FC tidak melakukan banyak perubahan dalam taktikal dan corak permainan dengan fokus utama adalah untuk muncul pemenang apabila turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Malaysia Futsal Cup 2023.
Pengendalinya, Gerrard Casas mengakui ianya adalah perkara yang baik buat pasukannya untuk layak ke final dua kali berturut-turut dan menjadikan kegagalan musim lalu sebagai detik kebangkitan yang mematangkan pasukan.
“Kami melakukan persiapan yang sama seperti sebelum ini sepanjang 10 bulan dan meskipun ini adalah final, persiapan kami tidak banyak berubah. Kegagalan musim lalu buatkan pasukan muda kami lebih matang dan cuba untuk menang final ini kerana layak kali kedua ke final adalah perkara yang baik dan fokus kini kepada kemenangan.
“Saya gembira bertemu JDT kerana mereka adalah pasukan yang kuat. Selain itu, saya dan jurulatih JDT, Juan Antonio adalah dua jurulatih dari Sepanyol dan kami berdua layak ke final dua kali. Ini adalah perkembangan yang baik buat negara kami,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Gerrard hanya mahu anak-anak buahnya menumpukan perhatian kepada perlawanan akhir ini meskipun sedar lawan yang dihadapi adalah lawan sukar dan mempunyai taktikal yang baik dan dia mempercayai kesemua 17 pemainnya.
“Mereka adalah pasukan yang baik dari segi taktikal tetapi kami perlu fokus kepada pasukan kami dan mahu buktikan kenapa kami juara liga dan mahu menang esok. Saya percaya dengan pasukan saya dan semua 17 pemain yang ada mampu bermain bila diperlukan,” tambahnya.
Pengendali Sepanyol itu juga gembira dengan pemilihan Stadium Malawati sebagai venue final kerana dia merasakan stadium itu lebih berkapasiti besar dan sesuai untuk menunjukkan kemeriahan sukan futsal di negara ini.
“Ini pertama kali saya bermain di Stadium Malawati. Ini adalah berita baik kerana tahun lepas venue tidak berapa baik dan kini lebih ramai boleh hadir kerana stadium yang lebih besar dan peluang untuk kita tunjukkan kemeriahan sukan ini dan kami mahu berikan yang terbaik kepada penyokong,” jelasnya.
Sementara itu kapten pasukan, Saiful Nizam Mohd Ali pula berkata para pemain sudah bersemangat untuk menebus kehampaan musim lalu dan dia juga senada dengan Gerrard yang gembira apabila perlawanan akhir ini dilangsungkan di Stadium Malawati Shah Alam.
“Semangat para pemain memang membara kerana kalah tahun lepas dan semua tunjuk komitmen yang tinggi untuk capai kejayaan dan keadaan stadium yang ramai tidak menjadi masalah buat kami dan lebih ramai penyokong lebih baik,” katanya dalam sidang media yang sama.
Pahang Rangers layak ke final selepas menewaskan Terengganu dengan aggregat 14-3 untuk menebus kehampaan tewas dalam perlawanan akhir musim lalu di tangan Selangor MAC.