DALAM kira-kira 11 hari sebelum tirai acara Futsal Lelaki Sukan SEA 2025 dibuka di Nonthaburi, Thailand, tonggak berpengalaman Harimau Malaya, Mohd Ridzwan Bakri, tampil dengan keyakinan tinggi bahawa Malaysia mampu mencipta sesuatu yang lebih besar kali ini, sambil memburu slot dalam senarai akhir 14 pemain pilihan ketua jurulatih, Rakphol Sainetngam.
Ridzwan, yang kini memburu penampilan keempatnya di pentas Sukan SEA, mengakui prestasi skuad kali ini lebih seimbang dan banyak disuntik tenaga muda hasil perkembangan liga domestik, terutama Liga B-19 yang semakin matang. Baginya, kehadiran generasi baharu ini bukan sahaja menambah variasi taktikal, tetapi memberikan Malaysia dimensi permainan lebih bertenaga dan serba pantas.
“Ini edisi keempat untuk saya. Kalau lihat skuad kali ini, semua memang solid. Banyak pemain muda yang biasa main dari kecil dsn bermain di liga-b19,” katanya yang mahu menyumbang pengalaman kepada barisan muda negara.
Harapan untuk menggenggam pingat kembali membara selepas kali terakhir Malaysia meraih perak di Kuala Lumpur 2017, satu kejayaan yang hadir selepas persiapan panjang dan keserasian mantap dalam skuad tersebut.
“Insya-Allah, Sukan SEA kali ini kami dapat pingat. Bukan macam sebelum ini. Kami akan kerja keras. Saya ingat lagi kita dapat perak di edisi 2017, masa itu pasukan tengah solid, tengah sefahaman. Harap para pemain baru sekarang boleh serasi cepat sebab kita main sebagai satu pasukan, bukan individu,” ujarnya.
Walaupun sering dikritik kononnya futsal Malaysia semakin ketinggalan, Ridzwan tidak melihatnya sebagai halangan. Sebaliknya, beliau percaya skuad kali ini mempunyai jiwa yang cukup kuat untuk menentang empat gergasi rantau iaitu Thailand, Indonesia, Vietnam dan Malaysia sendiri.
“Ramai kata kita ketinggalan, tapi saya tengok dengan semangat sekarang pun kita boleh bagi saingan. Tak perlu kisah siapa terbaik, Yang penting macam mana kita bekerja dalam gelanggang,” tegasnya.
Ridzwan turut mengharapkan penambahan muka baharu dapat memberi impak positif menjelang Sukan SEA dan seterusnya membawa pasukan ke sasaran lebih besar di Piala Asia AFC pada Januari depan.