KETUA Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT) FC, Hector Bidoglio menjelaskan anak buahnya akan turun dengan momentum ‘high pressing’ dalam pertemuan buku bertemu ruas menentang Terengganu FC dalam aksi akhir pada Sabtu.
“Ia jelas perlawanan yang penting tetapi kita tahu kekuatan pasukan masing-masing. Apa yang kita akan lakukan adalah high pressing.
“Kita akan cuba mengekalkan intensiti untuk memastikan JDT berjaya memenangi perlawanan malam esok.
“Kita harus bermain secara kompak dan pemain kesemuanya telah bersedia untuk menghadapi perlawanan esok, “ujarnya dalam sidang media pra perlawanan akhir Piala FA di Bukit Jalil.

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias berazam menjulang Piala FA 2022
Sementara itu, penjaga gol utama JDT, Farizal Marlias berazam menjulang Piala FA pertama bersama pasukan tersebut.
Biarpun sedar kekuatan dimiliki Terengganu, Farizal berkata kesilapan mudah harus dielakkan sekiranya JDT ingin memenangi kejuaraan buat kali kedua dalam sejarah Piala FA yang diperkenalkan pada 1990.
“Inilah final piala FA pertama saya. Sekiranya diberi peluang, saya akan melakukan yang terbaik.
“Terengganu satu pasukan yang konsisten dari segi permainan mereka. Kemampuan memegang bola juga baik.
“Serangan mereka juga baik, jadi kita harus mengurangkan kesalahan di bahagian pertahanan supaya tidak memberi ruang mereka menjaringkan gol, ” katanya.