SADIO Mane muncul wira Senegal selepas menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Mesir 1-0 dalam separuh akhir Piala Negara Negara Afrika, membawa pasukannya ke final dan menangguhkan impian Mohamed Salah meraih gelaran benua pertama.

Aksi dua bekas rakan sepasukan Liverpool itu berlangsung tegang dengan Senegal menguasai permainan tetapi sukar memecah pertahanan Mesir. Nicolas Jackson mensia-siakan peluang awal, manakala percubaan Diarra dan Pape Gueye menguji Mohamed El Shenawy. 

Suasana tegang memuncak apabila berlaku pertelingkahan kecil antara kedua-dua bangku simpanan sebelum tamat babak pertama selepas jurulatih Senegal, Pape Thiaw, memasuki kawasan teknikal Mesir.

Selepas rehat, Senegal terus menekan menerusi percubaan jarak jauh Lamine Camara dan Iliman Ndiaye, manakala Mesir kekal bertahan walaupun membawa masuk pemain berpengalaman, Trezeguet.

Gol yang dinanti akhirnya hadir pada minit ke-78 apabila rembatan Camara disekat dan bola jatuh kepada Mane dan penyerang 32 tahun itu tidak mensia-siakan peluang, melepaskan sepakan kaki kanan dari jarak kira-kira 20 ela menewaskan El Shenawy, gol itu disahkan selepas semakan VAR menolak dakwaan ofsaid dan bola terkena tangan pada awal gerakan.

Mesir cuba bangkit pada penghujung perlawanan dengan memasukkan Zizo, Mostafa Mohamed dan Salah Mohsen, tetapi juara tujuh kali Afcon itu gagal menimbulkan ancaman sebenar, Edouard Mendy hanya diuji pada masa kecederaan apabila menepis rembatan kaki kanan Marmoush, menjadi satu-satunya percubaan tepat Mesir sepanjang perlawanan.

Kemenangan ini membawa Senegal ke final menentang tuan rumah, Maghribi, Ahad ini, dengan sasaran memburu kejuaraan Afcon kedua dan Mesir pula terus kecewa apabila Salah sekali lagi gagal meraih gelaran benua, sementara Senegal terus membuktikan mereka sering menggagalkan impian Pharaohs di pentas besar.

Kredit Gambar : footballsenegal