Select Page

Irfan Bakti optimis Nafuzi boleh tamatkan penantian 11 tahun Piala FA

Irfan Bakti optimis Nafuzi boleh tamatkan penantian 11 tahun Piala FA

BEKAS pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang pernah membawa pasukan dari timur tanah air itu menjulang Piala FA 2011 yakin bahawa skuad kendalian Mohamad Nafuzi Zain mampu membawa Terengganu menamatkan penantian 11 tahun dengan barisan pemain yang ada.

Jelasnya, pengalaman yang dimiliki Mohamad Nafuzi Zain dilihat mencukupi bagi membawa pasukan tersebut menjulang trofi Piala FA dalam edisi kali ini.

Sejak pengambilalihan Nafuzi sebagai jurulatih Terengganu, dia merasakan kehadirannya telah memberi impak yang besar buat Sang Penyu.

Dengan kehadiran beberapa pemain muda dari Kelantan yang digabungkan dengan beberapa pemain import yang berkaliber, Sang Penyu dilihat berada dalam landasan terbaik membenam kelab terhebat Liga Malaysia ketika ini, Johor Darul Takzim (JDT).

“Selepas 11 tahun, saya rasa Terengganu mungkin dapat kembali memenangi Piala FA kerana bertemu JDT di gelanggang neutral. Saya rasa dengan kehadiran beberapa pemain Terengganu mungkin dapat membuat kejutan kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

“Dia merupakan penolong saya. Saya sendiri sebelum berhenti saya telah beritahu kepada pihak pengurusan bahawa Nafuzi layak untuk menggantikan saya. Tahun ini ada ura-ura dia mahu berkelana ke pasukan lain, tapi saya rasa lebih baik dia duduk di Terengganu dahulu sebelum ingin membimbing pasukan lain. Pengalaman yang ada pada dia sejak saya tinggalkan sudah cukup untuk Terengganu buat kejutan pada kali ini.

“Nafuzi sudah banyak menggunakan pemain muda terutamanya berasal dari Kelantan. Dia menggunakan ramai pemain muda memperkuat pasukan. Dengan pemain import yang baik, saya rasa ada impak sejak Nafuzi mengambil alih,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, dia sedar Johor Darul Takzim telah berada pada satu tahap yang berbeza pada era bola sepak di Malaysia namun tidak mustahil untuk dikalahkan mana-mana pasukan.

Pengendali Kuching City FC itu turut berpendapat andai Bergson da Silva dan Fernando Forestieri berjaya dirantai, Terengganu tidak berdepan masalah untuk mencipta kejutan.

Mengimbau era semasa dia membawa pasukan menjulang kejuaraan piala tersebut pada 2011, dia juga menegaskan andai Terengganu dapat meneruskan penguasaan bola dan berjaya melakukan serangan balas pantas, Johor Darul Takzim bakal berdepan masalah yang besar di pentas akhir Piala FA nanti.

“JDT adalah satu pasukan yang boleh kita katakan telah berada pada satu tahap berbeza di Malaysia kerana memiliki ramai pemain naturalisasi, ramai pemain asing dari JDT 2 dan ramai pemain tempatan yang baik.

“Bagaimanapun, JDT bukan tidak boleh dikalahkan. Rekod Terengganu juga pernah mengalahkan JDT di Johor semasa saya dan Nafuzi membimbing pasukan. Jadi tidak mustahil untuk JDT dikalahkan.

“Saya yakin Nafuzi telah membuat bacaan dan analisa bagaimana cara yang terbaik mengalahkan JDT. Taktikal yang digunakan Nafuzi mungkin dapat mengejutkan JDT untuk kali ini.

“Cara permainan Terengganu seboleh-bolehnya mengawal bola dengan baik dan transisi membuat counter attack pantas merupakan senjata Terengganu.

“Sekiranya Terengganu dapat mengawal dengan baik Bergson dan seorang lagi pemain Argentina itu tidak mustahil Terengganu akan buat kejutan untuk kali ini.

“Salah satu senjata Terengganu adalah Faisal Halim dan mungkin meletakkan dua penyerang, Kpah dengan Tchetche dan seorang lagi pemain tengah, Habib Haroon tetapi Faisal Halim memang sentiasa menjadi duri dalam daging bagi pasukan Terengganu. Kelebihannya lebih kurang Arif Aiman pemain Johor Darul Takzim,”ujarnya.

Video Terkini

Loading...